JellyPages.com

"Hidup Memerlukan Seribu Pengorbanan"

"Hidup Memerlukan Seribu Pengorbanan"

Saturday, August 20, 2011

BERSABARLAH

Ketika al-Syibli melalui satu jalan yang bernama Marastani, tiba-tiba dia dihalang oleh sekelompok orang yang datang kepadanya. Lalu al-Syibli bertanya, "Siapakah kamu?"
Jawab mereka, "Kami ialah kekasihmu yang datang menziarahimu."

Kemudian al-Syibli melemparkan mereka dengan batu-batu kecil sehingga mereka lari meninggalkannya. Pada saat itu al-Syibli berkata, "Jika benar engkau menyintaiku, tentu kamu sabar menerima ujianku ini."



Saya akui saya tertekan sekarang dengan pelbagai perkara yang sememangnya sangat mengganggu aturan seharian saya. Namun, saya cuba untuk tidak mengeluh kerana saya tahu semua ini Allah turunkan kepada saya kerana saya layak dan mampu untuk menanggung.

Saya terkadang letih untuk terus menahan perasaan tanpa membuka mulut bercerita. Terasa membengkak di dalam dada ini dan hanya tunggu masa untuk meletup tetapi apakan daya, saya masih ada Tuhan yang Maha Mendengar. Saya tahu, akan ada pahala buat saya selagi mulut tidak mengeluh dengan ujian yang diberikan.
 
Al-Jurjani berkata, "Sabar ialah perbuatan meninggalkan segala keluh kesah tentang pedihnya cubaan dan musibah yang menimpa kepada selain Allah."

Saya mengurut dada sendiri petang tadi sambil melafazkan zikir. Meredakan berat beban yang tersimpan. Memerhatikan gerakan air di tasik dan ditemani tupai-tupai yang melompat dari satu dahan ke dahan. Hanya saya dan Allah sebenarnya yang tahu apa yang saya rasai dan alami. Kawan-kawan mungkin ada yang tahu tetapi berapa kerat sangat daripada berkeping-keping papan perasaan yang saya tanggung. Tidak cukup papan-papan itu untuk membina sebuah arca pengertian!

Namun saya bersyukur kerana meskipun saya sedih dan tertekan, Allah masih meminjamkan kewarasan kepada saya untuk mencari jalan ketenangan meskipun penyelesaiannya masih kabur, namun pasti ada!
Al-Junaid juga pernah berkata, "Sabar adalah perbuatan menelan kepahitan tanpa bermasam muka."
Biarpun begitu, mungkin ada ketikanya saya terbabas dalam memaniskan riak. Ampunkan diriku yang lemah wahai Tuhan yang Maha Menguasai Alam.

Saya bukan seorang yang gagah perkasa perasaannya namun saya pula tidaklah mudah dikecewakan. Kerana hanya Iman yang akan meredhakan setiap yang berlaku. Walau apa yang terjadi, pastikan kita menyebut dan memohon pertolongan daripada Allah S.W.T, dari DIA ujian ini datang, hanya DIA punyai jalan penyelesaiannya.

Ulama' sufi pernah menyebut, "Makhluk yang meminta pertolongan kepada makhluk samalah seperti banduan yang terpenjara meminta bantuan daripada banduan yang juga terpenjara."
Kembalilah pada Allah, pasti kita akan bertemu ketenangan. Semoga Allah membalas kesabaran ini dengan ganjaran yang sewajarnya.

No comments: