JellyPages.com

"Hidup Memerlukan Seribu Pengorbanan"

"Hidup Memerlukan Seribu Pengorbanan"

Wednesday, July 20, 2011

KIRANYA INI DIKATAKAN TAMAN SYURGA


Damai rasanya berada di bawah sinar mentari yang seakan menyembunyikan dirinya sejak awal pagi tadi.
Subhanallah... titis-titis jernih ini mengalir lagi tatkala memandang ke langit yang luas memayungi bumi.

Bersyukur kerana masih jua diberi helaan nafas dan menikmati keindahan ciptaan-Nya.

Kisah yang ingin aku titipkan kali ini, merupakan satu kisah yang mungkin menjadi anugerah dari Allah buat insan kerdil dan hina ini.

Terfikir juga untuk tidak berkongsi, tetapi rasanya tidak ada salahnya andai sedikit rasa bahagia ini ku kongsikan bersama.

Moga Allah memberkati tiap perkongsian dan terus-menerus menghulurkan rasa cinta yang begitu menebal buat-Nya... Insya-Allah.

Seperti biasa, setiap petang Khamis, aku hadir ke kelas pengajian tajwid di surau ar-Rahman, berhampiran kawasan kediamanku.

Biasanya aku tiba lima minit lebih awal sebelum kelas bermula, cuma sesekali terbabas jua seminit dua.

Sudah menjadi amalanku, setiap kali memulakan perjalanan ke tempat pengajian (surau) aku akan berdoa;

Doa Pergi ke Masjid (maksudnya);
Ya Allah,
jadikanlah cahaya di hatiku
cahaya di lidahku
cahaya di pendengaranku
cahaya di penglihatanku
cahaya dari belakangku
cahaya di hadapanku
cahaya dari atasku
dan cahaya dari bawahku.
Ya Allah, berilah aku cahaya... aamiin Ya Rabbal'aalamiin.

Diriwayatkan dalam Sahih Muslim, dalam sebuah hadis bahawa Ibn Abbas r.a. bahawa Nabi S.A W telah keluar dari rumah Maimunah r.a selepas bertahajud, untuk ke masjid bersolat Subuh. Maka baginda S.A.W telah membaca doa ini.. (sama-sama kita amalkan... Insya-Allah).

Perjalanan ke surau itu mengambil masa lebih kurang 10 minit dari rumah.

Setibanya aku di perkarangan surau, ku lihat belum ramai yang hadir.

Mungkin juga aku yang sedikit awal daripada mereka hari ini.

Kalimah-kalimah suci yang dipasang, menghiasi kamar telinga ku.

Indah ku rasa, damainya jiwa mendengar kalimah yang membesarkan Ilahi. Terhibur benar rasa hati.

Dari situ juga aku tahu, bahawa penganjur kelas, Puan Intan yang ku anggap seperti kakak ku sendiri sudah ada di dalam surau.

Memang menjadi kebiasaan, kak Intan (panggilan sahabat-sahabat padanya) menjadi orang pertama yang hadir di surau.

Beliau yang akan menyediakan keperluan untuk ustaz dan mengemaskini surau sebelum kelas dimulakan.
Sekali lagi, aku membaca doa ketika melangkah masuk ke dalam surau, (amalan yang tidak mahu aku lepaskan... Insya-Allah).

Doa Masuk ke Dalam Surau/ Masjid (maksudnya);
"Ya Allah, ampunilah aku dan bukakanlah bagiku pintu-pintu rahmat-Mu... aamiin Ya Rabbal'aalamiin."

Sebaik saja kaki melangkah di pintu surau, terlihat dua orang sahabat menyambutku dengan senyuman.

"Assalamualaikum.." Ucapan salam bersambut.

Tepat jam 5.30 petang, kelas dimulakan dengan membaca ummul kitab, al-Fatihah.

Seusai kata-kata aamin dilafazkan, kami mengalunkan doa Qhatam al-Quran.

Dan setiap kali saat ini tiba hati benar-benar tersentuh.

Malah terasa hamba hina ini bagai merayu dan merintih untuk memohon 'perhatian' dari Yang Allah Maha Esa.

Doa Qhatam Al Quran (maksudnya);
Ya Allah,
Rahmatilah kami dengan al-Quran.
Jadikan ia Pimpinan, Cahaya, Petunjuk dan Rahmat.
Allah ingatkan kami, apa yang terlupa
Ajarkanlah...
Ajarkanlah...
Yang tidak diketahui
Kurniakan kami membacanya
Sepanjang malam
dan sepanjang siang hari
Jadikan ianya hujjah kami (pembela kami di akhirat)
Ya Rabbal'aalamiin...

Di sinilah..

Saat inilah...

Tiba-tiba aku mendengar alunan doa ini begitu merdu dan gemersik sekali.
Allahu Allah...
Bukan suara kami Ya Allah.

Terasa yakin benar diri ini, bahawa suara-suara itu bukan suara kami Ya Allah.

Genangan airmata menjadikan aku bertambah hiba.

Di dada ini bagai terbit satu getar yang tak mampu aku luahkan.

Allahu Akbar!

Apakah ini yang Kau sebut-sebut, sesungguhnya para Malaikat ada bersama-sama hamba-Mu yang mencari ilmu?

Subhanallah.

Dalam kesyahduan yang aku rasakan menjadikan aku tidak mampu lagi untuk mengangkat wajah ini.

Tertunduk malu aku dengan-Mu Ya Allah.

Andai benarlah, apa yang aku dengar ini anugerah dari-Mu, aku bersyukur.

Aku benar-benar bersyukur.

Ya Allah, letakkanlah kami, hamba-hamba-Mu ini, di kalangan mereka yang tidak jemu-jemu ingin menggali ilmu-Mu.

Tiada bekalan terbaik selain ilmu yang kami cari, untuk kami jadikan panduan agar dapat kami beramal pada-Mu.

Ya Allah, tiap ruang dan peluang yang sentiasa Engkau bukakan buat kami, akan kami jadikan satu jalan dalam kami merebut keredhaan-Mu.

Redhailah kami Ya Rabbi.

Limpahilah Rahmat-Mu buat kami Ya Rabbi.

Bahagiakanlah kami di dunia dan akhirat nanti...

Sesungguhnya tiada daya dan upaya kami melainkan hanya dengan-Mu...

Allahu Rabbi.

Walau keindahan yang dapat aku dengari itu hanya sebentar cuma, tapi hingga saat ini, gemersiknya suara yang singgah ke telinga menjadikan aku benar-benar rindu untuk terus berilmu.

Moga apa yang aku kongsikan ini, menjadikan hati kita bertambah rindu dan lunak untuk merebut cinta Allah Yang Maha Esa.

Selagi diberikan keizinan untuk bernafas di bumi pinjaman-Mu ini Ya Allah, aku berjanji untuk terus mencari, mencari ilmu yang akan menjadi bekalan tika aku pulang ke sisi-Mu nanti...

Sumber imej : Google Image

No comments: