JellyPages.com

"Hidup Memerlukan Seribu Pengorbanan"

"Hidup Memerlukan Seribu Pengorbanan"

Tuesday, July 26, 2011

SUKARNYA UNTUK MENDAPATKAN YANG TERBAIK DALAM KEHIDUPAN KITA


Kenapa terlalu sukar untuk kita mendapatkan yang terbaik dalam diri kita?? Seringkali kita memanjatkan doa pada yang maha ESA namun sering kali juga diuji dengan ujian yang hebat.. Agaknya kenapa ya?? ALLAH itu tidak adil ka?? Sememangnya tidak..ALLAH itu maha adil dan sering memberikan apa yang diperlukan oleh ummatnya.. Seketika kita berpekur bahawa ALLAH tidak memberikan apa yang kita mahukan tapi sebenarnya itulah yang terbaik buat diri-diri kita :(.. Apa pun hamdallah ala kulli hal

MOOD = SEDIH + KECEWA + HAMPA + GERAM + SAKIT HATI

Wednesday, July 20, 2011

KIRANYA INI DIKATAKAN TAMAN SYURGA


Damai rasanya berada di bawah sinar mentari yang seakan menyembunyikan dirinya sejak awal pagi tadi.
Subhanallah... titis-titis jernih ini mengalir lagi tatkala memandang ke langit yang luas memayungi bumi.

Bersyukur kerana masih jua diberi helaan nafas dan menikmati keindahan ciptaan-Nya.

Kisah yang ingin aku titipkan kali ini, merupakan satu kisah yang mungkin menjadi anugerah dari Allah buat insan kerdil dan hina ini.

Terfikir juga untuk tidak berkongsi, tetapi rasanya tidak ada salahnya andai sedikit rasa bahagia ini ku kongsikan bersama.

Moga Allah memberkati tiap perkongsian dan terus-menerus menghulurkan rasa cinta yang begitu menebal buat-Nya... Insya-Allah.

Seperti biasa, setiap petang Khamis, aku hadir ke kelas pengajian tajwid di surau ar-Rahman, berhampiran kawasan kediamanku.

Biasanya aku tiba lima minit lebih awal sebelum kelas bermula, cuma sesekali terbabas jua seminit dua.

Sudah menjadi amalanku, setiap kali memulakan perjalanan ke tempat pengajian (surau) aku akan berdoa;

Doa Pergi ke Masjid (maksudnya);
Ya Allah,
jadikanlah cahaya di hatiku
cahaya di lidahku
cahaya di pendengaranku
cahaya di penglihatanku
cahaya dari belakangku
cahaya di hadapanku
cahaya dari atasku
dan cahaya dari bawahku.
Ya Allah, berilah aku cahaya... aamiin Ya Rabbal'aalamiin.

Diriwayatkan dalam Sahih Muslim, dalam sebuah hadis bahawa Ibn Abbas r.a. bahawa Nabi S.A W telah keluar dari rumah Maimunah r.a selepas bertahajud, untuk ke masjid bersolat Subuh. Maka baginda S.A.W telah membaca doa ini.. (sama-sama kita amalkan... Insya-Allah).

Perjalanan ke surau itu mengambil masa lebih kurang 10 minit dari rumah.

Setibanya aku di perkarangan surau, ku lihat belum ramai yang hadir.

Mungkin juga aku yang sedikit awal daripada mereka hari ini.

Kalimah-kalimah suci yang dipasang, menghiasi kamar telinga ku.

Indah ku rasa, damainya jiwa mendengar kalimah yang membesarkan Ilahi. Terhibur benar rasa hati.

Dari situ juga aku tahu, bahawa penganjur kelas, Puan Intan yang ku anggap seperti kakak ku sendiri sudah ada di dalam surau.

Memang menjadi kebiasaan, kak Intan (panggilan sahabat-sahabat padanya) menjadi orang pertama yang hadir di surau.

Beliau yang akan menyediakan keperluan untuk ustaz dan mengemaskini surau sebelum kelas dimulakan.
Sekali lagi, aku membaca doa ketika melangkah masuk ke dalam surau, (amalan yang tidak mahu aku lepaskan... Insya-Allah).

Doa Masuk ke Dalam Surau/ Masjid (maksudnya);
"Ya Allah, ampunilah aku dan bukakanlah bagiku pintu-pintu rahmat-Mu... aamiin Ya Rabbal'aalamiin."

Sebaik saja kaki melangkah di pintu surau, terlihat dua orang sahabat menyambutku dengan senyuman.

"Assalamualaikum.." Ucapan salam bersambut.

Tepat jam 5.30 petang, kelas dimulakan dengan membaca ummul kitab, al-Fatihah.

Seusai kata-kata aamin dilafazkan, kami mengalunkan doa Qhatam al-Quran.

Dan setiap kali saat ini tiba hati benar-benar tersentuh.

Malah terasa hamba hina ini bagai merayu dan merintih untuk memohon 'perhatian' dari Yang Allah Maha Esa.

Doa Qhatam Al Quran (maksudnya);
Ya Allah,
Rahmatilah kami dengan al-Quran.
Jadikan ia Pimpinan, Cahaya, Petunjuk dan Rahmat.
Allah ingatkan kami, apa yang terlupa
Ajarkanlah...
Ajarkanlah...
Yang tidak diketahui
Kurniakan kami membacanya
Sepanjang malam
dan sepanjang siang hari
Jadikan ianya hujjah kami (pembela kami di akhirat)
Ya Rabbal'aalamiin...

Di sinilah..

Saat inilah...

Tiba-tiba aku mendengar alunan doa ini begitu merdu dan gemersik sekali.
Allahu Allah...
Bukan suara kami Ya Allah.

Terasa yakin benar diri ini, bahawa suara-suara itu bukan suara kami Ya Allah.

Genangan airmata menjadikan aku bertambah hiba.

Di dada ini bagai terbit satu getar yang tak mampu aku luahkan.

Allahu Akbar!

Apakah ini yang Kau sebut-sebut, sesungguhnya para Malaikat ada bersama-sama hamba-Mu yang mencari ilmu?

Subhanallah.

Dalam kesyahduan yang aku rasakan menjadikan aku tidak mampu lagi untuk mengangkat wajah ini.

Tertunduk malu aku dengan-Mu Ya Allah.

Andai benarlah, apa yang aku dengar ini anugerah dari-Mu, aku bersyukur.

Aku benar-benar bersyukur.

Ya Allah, letakkanlah kami, hamba-hamba-Mu ini, di kalangan mereka yang tidak jemu-jemu ingin menggali ilmu-Mu.

Tiada bekalan terbaik selain ilmu yang kami cari, untuk kami jadikan panduan agar dapat kami beramal pada-Mu.

Ya Allah, tiap ruang dan peluang yang sentiasa Engkau bukakan buat kami, akan kami jadikan satu jalan dalam kami merebut keredhaan-Mu.

Redhailah kami Ya Rabbi.

Limpahilah Rahmat-Mu buat kami Ya Rabbi.

Bahagiakanlah kami di dunia dan akhirat nanti...

Sesungguhnya tiada daya dan upaya kami melainkan hanya dengan-Mu...

Allahu Rabbi.

Walau keindahan yang dapat aku dengari itu hanya sebentar cuma, tapi hingga saat ini, gemersiknya suara yang singgah ke telinga menjadikan aku benar-benar rindu untuk terus berilmu.

Moga apa yang aku kongsikan ini, menjadikan hati kita bertambah rindu dan lunak untuk merebut cinta Allah Yang Maha Esa.

Selagi diberikan keizinan untuk bernafas di bumi pinjaman-Mu ini Ya Allah, aku berjanji untuk terus mencari, mencari ilmu yang akan menjadi bekalan tika aku pulang ke sisi-Mu nanti...

Sumber imej : Google Image

ALAM ROH YANG BERBEZA

Pada suatu hari, Abu Bakar r.a telah ditanya oleh seorang sahabat tentang ke mana ruh pergi setelah ia keluar dari jasad, maka berkata Abu Bakar r.a :
"Ruh itu menuju ke tujuh tempat"
· Ruh para nabi dan utusan menuju ke syurga Adni. 
· Ruh para ulama menuju ke syurga Firdaus. 
· Ruh para mereka yang berbahagia menuju ke syurga Illiyyina. 
· Ruh para syuhadaa berterbangan seperti burung disyurga sekehendak mereka. 
· Ruh para mukmin yang berdosa akan tergantung di udara tidak di bumi dan tidak di langit sampai hari kiamat. 
· Ruh anak-anak orang yang beriman akan berada di gunung dari minyak misik. 
· Ruh orang-orang kafir akan berada dalam neraka Sijjin, mereka disiksa beserta jasadnya sampai hari kiamat.


Telah bersabda Rasulullah S.A.W bahawa :
"Tiga kelompok manusia yang akan berjabat tangannya oleh para malaikat pada hari mereka keluar dari kuburnya ialah"
· Orang-orang yang mati syahid. 
· Orang-orang yang mengerjakan solat malam dalam bulan Ramadhan. 
· Orang yang puasa hari Arafah.

Dari Al-Bara' bin 'Azib RA, katanya:
Kami telah keluar bersama-sama Nabi S.A.W, mengiringi jenazah seorang lelaki dari kaum Ansar, lalu kami sampai ke kuburnya yang disediakan. Rasulullah S.A.W pun duduk lalu kami duduk disekelilingnya dengan keadaan tidak bergerak dan membisu seolah-olah ada burung yang hinggap di atas kepala kami, manakala Baginda S.A.W pula mencucuk-cucuk tanah dengan seranting kayu yang ada di tangannya. Setelah itu Baginda S.A.W mengangkat kepalanya lalu bersabda: "Mintalah kamu perlindungan kepada Allah dari azab kubur", (diulanginya sabdanya itu) dua atau tiga kali.

Kemudian Baginda s.a.w bersabda lagi: "Sesungguhnya hamba Allah yang mukmin (ketika hendak mati) apabila dia berada dalam keadaan terputus dari dunia dan sedang menghadapi akhirat, akan turunlah kepadanya Malaikat-malaikat dari langit, putih bersih muka mereka, seolah-olah matahari, dengan membawa bersama mereka kain-kain kapan dari syurga, dan haruman yang ada di syurga, sehingga mereka duduk jarak daripadanya sejauh mata memandang.

Kemudian datang Izrail a.s lalu duduk di sisi kepalanya sambil menyerunya dengan berkata: "Wahai jiwa yang baik! Keluarlah engkau menuju ke tempat keampunan dan keredhaan Allah".

Baginda S.A.W bersabda lagi: "Kemudian roh orang itu keluar – mengalir seperti mengalirnya setitik air dari mulut bekas air (yang terbuat dari kulit kambing), lalu Malakul maut mengambilnya, maka apabila ia mengambilnya, Malaikat-malaikat (yang ditugaskan untuk itu) tidak membiarkannya ditangan Malakul maut walau sekelip mata sekalipun lalu mereka mengambilnya kemudian meletakkannya di dalam kain kapan dan haruman tersebut; dan keluar pula dari roh itu bau yang harumnya seperti haruman kasturi yang terdapat di atas muka bumi."

Baginda S.A.W bersabda lagi: "Kemudian mereka membawanya naik ke langit, maka mereka tidak melalui (semasa membawanya) mana-mana kumpulan Malaikat melainkan kumpulan Malaikat itu berkata: "Roh yang baik ini roh siapa?" Mereka menjawab: "Roh si fulan anak si fulan' (dengan menyebutkan sebaik-baik namanya yang biasa mereka menamakannya dengan nama-nama itu di dunia), (demikianlah halnya) sehingga berakhirlah perjalanan mereka membawanya ke langit yang pertama; setelah itu mereka meminta dibukakan pintu langit untuknya, lalu dibukakan pintu untuk mereka, kemudian Malaikat-malaikat yang berkedudukan istimewa di sisi Tuhan dari penduduk tiap-tiap langit menghantar roh itu beramai-ramai hingga ke langit yang berikutnya, sehinggalah mereka berhenti membawanya di langit yang ketujuh."

Setelah itu Allah 'Azza wa Jalla berfirman kepada Malaikat-malaikat (yang ditugaskan untuk itu): "Simpanlah suratan amal hamba-Ku ini dalam 'Illiyyin (tempat simpanan surat amal orang-orang yang berbakti) dan bawalah dia balik ke bumi, kerana sesungguhnya Aku telah menciptakan manusia dari bumi, dan ke bumi juga Aku kembalikan mereka, serta dari bumi pula Aku keluarkan mereka sekali lagi".

Baginda S.A.W bersabda lagi: "Dan sesungguhnya orang yang kafir (ketika hendak mati) apabila ia berada dalam keadaan terputus dari dunia dan sedang menghadapi akhirat, akan turunlah kepadanya Malaikat-malaikat dari langit, hitam muka mereka, dengan membawa kain-kain kasar seperti kain kadut, lalu mereka duduk jarak daripadanya sejauh mata memandang. Kemudian datang Malakal maut, lalu duduk di sisi kepalanya sambil menyerunya dengan berkata: "Hai jiwa yang jahat! Keluarlah engkau menuju ke tempat kebencian dan kemurkaan Allah".

Baginda S.A.W bersabda lagi: "Kemudian roh orang itu berselerak di merata jasadnya (kerana takut hendak keluar), lalu disentap rohnya itu oleh Malakul maut sebagaimana sebatang besi pembakar daging disentap dari segumpal bulu yang basah. Malakul maut pun mengambilnya, maka apabila ia mengambilnya, Malaikat-malaikat (yang ditugaskan untuk itu) tidak membiarkannya di tangan Malakul maut walau sekelip mata sekalipun sehingga mereka meletakkannya dalam kain kasar yang tersebut, dan keluar pula dari roh itu bau yang sebusuk-busuk bau bangkai yang ada di atas muka bumi. Kemudian mereka membawanya naik ke langit, maka mereka tidak melalui (semasa membawanya) mana-mana kumpulan Malaikat melainkan kumpulan Malaikat itu berkata: "Roh yang jahat ini roh siapa?" Mereka menjawab: "Roh si fulan anak si fulan," (dengan menyebutkan seburuk-buruk namanya yang biasa dipanggil dengan nama-nama itu di dunia); (demikianlah halnya) sehingga berakhirlah perjalanan mereka membawanya ke langit yang pertama, setelah itu mereka meminta dibukakan pintu langit untuknya, tetapi tidak dibukakan baginya."

Kemudian Rasulullah S.A.W membaca (ayat 40 Surah al-A'raf ertinya): ".....Tidak sekali-kali akan dibukakan bagi mereka pintu-pintu langit dan mereka tidak akan masuk syurga umpama seekor unta yang cuba untuk masuk di dalam lubang jarum.".

Kemudian Baginda S.A.W bersabda lagi: "Lalu Allah 'Azza wa Jalla berfirman kepada Malaikat: "Simpanlah suratan amal jahatnya di dalam neraka Sijjin (tempat simpanan surat amal jahat orang-orang yang berdosa), yang letakkanya di bumi yang terkebawah sekali.Lalu dicampakkan rohnya ke situ."(HR Ahmad, Abu Dawud)


Sumber: Hadith Harian Jakim

AWAK, KENAPA KAHWIN DENGAN SAYA??

"Aku terima nikahnya Fatimah Az-Zahrah binti Mohamad Nasir dengan mas kahwin RM80.00 tunai".

Dengan sekali lafaz, aku kini sah bergelar isteri. Lidahku kelu tidak mampu berkata apa-apa. Perasaanku bercampur baur. Pipiku terasa hangat dan basah. Aku tidak pasti mengapa air mataku jatuh sedangkan aku sepatutnya gembira dengan pernikahan ini.

Abdul Rahman bin Abdullah, itu lah nama jejaka yang kini telah sah menjadi suamiku. Dialah yang akan menjadi teraju masjid yang telah kami bina. Orangnya tinggi, kulitnya agak cerah, matanya bersinar, wajahnya seakan-akan bercahaya. Mukanya tidaklah persis Orlando Bloom yang dinobatkan menjadi "hot papa", mahupun Kim Hyun Joong yang menjadi kegilaan ramai gadis. Dia tidaklah terlalu kacak, tetapi sedap mata memandang. 

Dirinya memang selalu menjadi buah mulut orang. Apakan tidak, sudahlah mukanya manis di pandang, di tambah pula dengan sikapnya yang zuhud. Ya, dia seorang yang taat kepada Maha Pencipta, Tuhan Sekalian Alam. Selepas sahaja dia melafazkan akad, dia terus lakukan sujud syukur. Sungguh. Dia memang menjadi idaman siapa sahaja yang melihatnya. Aku juga aneh kenapa dia memilih aku? Sedangkan dia begitu baik, begitu alim, begitu sempurna..

Hingga detik ini aku masih belum mendapat jawapannya. Kenapa aku yang dipilihnya? Aku bukanlah baik mana. Kalau diikutkan, di luar sana, masih ada berjuta wanita yang boleh dipilihnya. Masih ramai lagi yang lebih baik daripadaku. Tapi, kenapa aku? Pakai tudung pun masih tidak pecus lagi. Kerap kali pemakaian tudung ku masih tidak mengikut saranan agama.

"Alhamdulillah. Sekarang, kita sah menjadi suami isteri. Abang harap, dengan penyatuan kita, dapatlah kita sama-sama berjuang ke jalan Allah", ujar suamiku menghentikan lamunanku sebentar tadi.
Di pandangnya wajahku, kemudian di lapnya benih-benih jernih yang keluar dari kelopak mataku. Selepas disarungkan cincin ke jari manisku, kusalam tangannya. Dia kemudiannya mencium dahiku. Entah kenapa pada waktu itu aku terasa tenang. Aku dapat rasakan keselamatan yang selama ini tidak pernah kurasakan dengan mana-mana lelaki lain. Aku tidak mampu berkata apa-apa. Air mataku tetap laju merembes keluar dari hujung pagar kelopakku.

"Alhamdulillah, anak mak sudah jadi isteri orang sekarang ni. Jadi isteri ni, tak mudah. Tapi, banyak ganjarannya. Lepas ni, kamu kena duduk dengan suami, jaga makan minum suami. Pesan mak jangan lupa, ya nak. Kata suami jangan ingkar", pesan ibuku sebelum aku pergi mengikut suamiku pulang ke rumah baru kami.

***

"Zahrah, dari tadi Abang tengok Zahrah diam je. Kenapa? Zahrah tak sedap badan ke?" tanya suamiku memecahkan kesunyian yang tercipta di antara kami.

Aku masih tidak mampu untuk berkata apa-apa. Ku gelengkan sahaja kepalaku menunjukkan kepadanya bahawa aku tidak apa-apa. Namun, dia terus ajukan soalan kepadaku,"Dah tu, kenapa Zahrah diam? Zahrah rindu mak ye?"

Usikannya langsung tidak mendapat respon daripadaku. Aku masih duduk kaku di sofa ruang tamu rumah kami.

Alhamdulillah. Biarpun, rumah kami tidaklah besar mana tapi cukup dengan kelengkapan rumah. Set sofa, televisyen, peti sejuk, semuanya sudah lengkap tersedia. Suamiku memang benar-benar bijak merancang sebelum berkahwin. Dilengkapi dulu segalanya sebelum dia masuk merisik si gadis sunti.

Perlakuanku yang dari tadi diam membisu ibarat seorang anak kecil yang baru lepas dimarahi menyebabkan si dia mengambil keputusan untuk mendekatiku justeru terus mengatur langkah ke arahku dan mengambil posisi betul-betul di sebelahku. Di pegangnya pipiku, diusapnya kepalaku. Wajahnya begitu tenang menyebabkan aku turut tenang. Terus terdetik dalam hatiku 'Ah, untungnya badan.

Sudahlah kacak, baik pula tu' Ditenungnya mataku dalam-dalam sebelum dia bertanyakan semula padaku, "Zahrah, kalau awak tak selesa Abang faham. Ni kali pertama awak hidup tanpa parents kan. Abang faham Zahrah. Susah bagi awak nak terima semua ni. Tapi, dari tadi  Abang tak nampak pun Zahrah senyum. Kot ye pun, senyum lah sikit. Zahrah comel tau kalau senyum," dia cuba memujuk agar aku mengukir senyuman.



Entah kenapa, bibirku mula mengukir senyuman. Aneh. Kenapa aku akur dengan kata-kata dia? Ah! Aku tidak mahu lagi berada dalam kekeliruan. Aku perlu tahu kenapa dia beria-ia mahu menikahi aku. Gadis yang begitu banyak kelemahannya. Gadis yang tak pernah pun ambil peduli pasal dia malah aku tak pernah mengenalinya secara dekat sebelum ini. Oleh sebab itu aku perlu tahu. Aku ni sekadar pelengkap hidup dia yang sememangnya lengkap tu ke? Ye lah. Semuanya dia ada. Yang kurang, cuma isteri. Lagi-lagi umur dia yang dah masuk 30-an. Entah-entah aku ni pilihan dia yang terakhir.

"Hmm.... awak, kenapa awak nak kahwin dengan saya?" ayat pertama yang keluar dari rongga mulutku setelah bergelar suami isteri.

"Laa.. Sebab tu je ke. Zahrah cuma nak tahu tu je? Tu yang Zahrah diam membisu dari tadi?", ujar sang suami diikuti ketawa kecil.

"Awak, saya tanya kenapa awak nak kahwin dengan saya?" tanyaku dengan nada yang lebih tegas.

"Hmm... Zahrah nak Abang jawab macam mana? Biar Abang jawab asalkan isteri Abang senyum,"  
soalanya kembali dengan lemah lembut.

"Awak, saya tak main-main ni. Saya tanya sekali lagi. Kenapa awak kahwin dengan saya?" bentakku.

"Okay. Abang akan jawab. Tapi, sebelum tu boleh Abang tahu kenapa Zahrah kahwin dengan Abang?" Soalnya pula seakan ingin menjeratku kembali.

Terkaku kelu lidahku mendengar ungkapan balas darinya. Ya, kenapa aku mengahwininya? Kalau aku tidak mahu, boleh saja aku katakan tidak. Tapi, kenapa aku terima? Kenapa aku tidak membantah di saat ibu dan ayah menjodohkan aku dengan dirinya? Apa yang membuatkan aku tertarik dengan si dia? Sebab wajahnya kah? Atau sebab kebijaksanaan si teruna? Atau mungkin kerana keimanannya? Aku tidak tahu. Aku keliru.
"Kenapa Zahrah membisu?" tanya si suami membuatkan aku tersedar.

"Saya tanya awak dulu kan! Awak jawab je lah! Jangan nak ubah topik boleh tak?" Bentakku sudah hilang sabar kerana terasa seolah sedang dipermainkan.

Dia agak terkejut dengan nada ku yang tinggi itu. Namun dia tidak marah. Yang menghairankan ku lagi, dia cuma tersenyum.

"Abang kahwin dengan Zahrah sebab Allah," ujarnya ringkas tetapi seakan penuh makna.

"Awak, dari dulu sampai sekarang itu je yang awak kata. I need your explanations! Please, I need to know the truth. Stop fooling around with God's name, boleh tak? Kalau awak nak menarik perhatian saya dengan jawapan awak tu, fine! You've made it! Saya tertarik bila dengar awak cakap macam tu. Tapi, sekarang please lah! Since, kita memang dah sah jadi husband and wife, I need to know why. And by saying that, I mean, explanation. saya tak nak hidup dalam kekeliruan. Hidup dalam sangkaan yang awak kahwin dengan saya sebab saya ni last choice. I'm tired of being the person who people i'll turn to bila diorang tengah lonely. Bila diorang dah tak ada tempat lain untuk mengadu, untuk berseronok, untuk bergelak tawa, baru diorang nak cari saya. Saya penat diperlakukan sebegitu. Awak faham?" jawabku panjang dan keras.

Ku palingkan mukaku darinya. Entah kenapa aku begitu takut untuk berkata kasar tepat pada wajahnya. Entah kenapa secara automatik aku berkata begitu tanpa ada sedikit pun keberanian memandang mukanya.
Sekali lagi, dia mengalihkan wajahku tepat memandang wajahnya. Senyuman nipis terukir di bibirnya. Tiada langsung bara kemarahan yang dapat dilihat dalam irisnya.

"Abang kahwin dengan Zahrah cuma ada satu sebab. Tak lebih, cuma satu. Orang lain, mungkin ada banyak sebab tapi bagi Abang, cukuplah satu sebab Abang. Abang kahwin dengan Zahrah bukan sebab Zahrah cantik. Abang akui, Zahrah memang cantik. Tapi, jujur Abang katakan kalau Abang nak cari yang lebih cantik, Abang boleh. Tu langsung tak menjadi masalah. Abang tak kahwin dengan Zahrah sebab Zahrah bijak. Buat apa Abang kahwin dengan orang yang bijak yang satu hari nanti berkemungkinan besar akan pijak kepala Abang? Abang tak kahwin dengan Zahrah sebab kemewahan. Tidak Zahrah, tidak sama sekali. Kalau mahukan kemewahan, segalanya Abang dah ada. Rumah.. Kereta... Walaupun tidaklah sebagus dan semahal mana, tapi sekurang-kurangnya Abang ada," balasnya lembut penuh hikmah dengan makna yang amat mendalam.

Kata-katanya lagi sekali membuatkan flood gate ku mula penuh hanya menanti masa untuk dirembeskan. Aku benar-benar kaget mendengar ucapannya. Seketul organ yang aku bawa selama ini, yang aku jaga daripada dipermainkan oleh mana-mana insan yang bergelar lelaki bagaikan ditusuk dan dirobek-robek halus oleh kata-katanya. Sinis sungguh arjuna ini! Mentang-mentang aku sudah sah menjadi isteri, boleh pula dia suka-suka hati cakap macam tu kat aku. Indah khabar dari rupa sungguh! Mahu sahaja aku tampar mukanya. Namun, entah kenapa badanku terus diam kaku. Seakan-akan masih menanti kata-kata yang bakal keluar dari bibirnya.

"Zahrah nak tahu kenapa Abang kahwin dengan Zahrah? Jawapan Abang memang takkan berubah, sayang. Tidak kiralah macam mana pun Zahrah tanya Abang, jawapan Abang tetap sama. Abang kahwin dengan Zahrah kerana Allah. Allah yang menentukan jodoh kita. Rusuk Abang, ada pada Zahrah. Jadi, siapa yang dapat melindungi hati Abang melainkan Zahrah? Mungkin Zahrah fikir kita tidak secocok. Tapi, ini semua perancangan-Nya, Zahrah. Kecantikan Zahrah, kebijaksanaan Zahrah, kemewahan Zahrah, itu semua tidak menarik Abang kepada Zahrah. Apa yang menarik Abang pada Zahrah adalah Allah. Segalanya telah Allah tentukan. Bila kita lahir, bila kita meninggal, siapa jodoh kita, berapa banyak rezeki kita, semua itu Allah telah tetapkan, sayang," tutur suamiku ikhlas.

Sekali lagi, kata-katanya menusuk kalbuku. Kali ini, air mataku tidak dapat dibendung lagi. Tersedu sedan aku menangis mendengar kata-katanya. Terus dipeluknya aku erat. Saat ini, aku terasa nyaman. Selamat sungguh aku rasa dalam pelukannya. Biarpun tangisan ku semakin menjadi-jadi, tapi hatiku seolah-olah mendapat satu ketenangan yang tidak dapat aku ungkapkan.

"Apa yang boleh Abang katakan, Abang tidak mungkin akan mengungkapkan kata-kata seperti orang lain. Bermanis mulut mengatakan isterinya begini begitu, menjawab persoalan mengapa dia mencintai isterinya dengan memberikan pelbagai perumpamaan. Abang tidak mampu melakukan semua itu. Tapi, kalau itu yang Zahrah mahu, Abang usahakan. Dengan izin-Nya, insya-Allah, Abang cuba. Tapi, tolong jangan terus menerus mempersoalkan ini dan itu. Ini semua kehendak Yang Maha Esa, sayang. Kita Muslim, kepercayaan kepada Allah adalah asas. Itu tonggak kebahagiaan kita dunia akhirat. Abang harap, Zahrah faham. Kita hidup atas dunia ni sementara," pujuknya tatkala melihat aku mulai menangis.

"Ta....tapi..... Abang tak kenal pun Zahrah... Abang tak pernah tahu pun hati budi Zahrah," aku cuba menduganya dalam sedu-sedan.

"Sekarang pun, kita boleh kenal antara satu sama lain kan? kita dah jadi suami isteri, lebih mudahlah Abang nak kenal isteri Abang, tak gitu?"

"Ta....tapi..... Abang tak tahu siapa Zahrah. Zahrah ni jahat. Abang baik. A..." aku masih ingin menduganya. Aku mahu dia tahu aku bukanlah sebaik dirinya. Aku tidak setaraf dengannya.

Dilekapkan jari telunjuknya ke bibirku. "Tiada siapa yang boleh menentukan kebaikan seseorang melainkan Allah, sayang. Tiada seorang pun. Hanya Allah yang selayaknya untuk memutuskan siapa yang baik, siapa yang tidak."

Kualihkan jari runcingnya dari bibirku, lantas ku pandang wajahnya. Memang benar kata orang, memang sejuk mata memandangnya. Dia masih kelihatan begitu tenang biarpun aku sudah mengasarinya. Hebat sungguh arjuna ini mengawal emosinya. Aku mengerti jika dia marah. Sudahlah baru sahaja selesai resepsi, penat masih belum hilang, tak semena-mena isterinya pula buat hal. Kagum sungguh aku dengan lelaki yang telah selamat menjadi suamiku.

"Abang, Zahrah minta maaf. Zahrah tak bermaksud nak berkasar dengan Abang. Tapi, bila ada yang mempersoalkan sebab kita berkahwin, Zahrah jadi keliru. Sungguh" ujarku terketar-ketar dalam tangisan.

Suamiku hanya mendiamkan diri. Dibelainya aku perlahan dengan harapan dapat menenangkan aku.
"Abang sendiri tahu, Zahrah tidaklah secantik mana, tidaklah sebijak mana. Mahu dibanding dengan gadis yang pernah Abang temui, mungkin Zahrah tidak langsung setaraf dengan mereka. Lagi-lagi kita tidak pernah keluar bersama. Alih-alih, kita nikah. Mestilah timbul curiga dalam hati orang" terangku satu persatu.

"Zahrah, sudahlah tu. Abang faham Zahrah inginkan penjelasan. Memang Zahrah berhak tahu kenapa abang berkahwin dengan Zahrah. Im marrying you because of Allah and the answer will remain the same forever. Zahrah percayakan Abang?" Soalnya ingin tahu isi hatiku.

Aku mengangguk tanda setuju.  Tidak ada lagi kalimah yang bisa kususun melainkan ucapan puji bagi Ilahi. Terima kasih, Ya Rabb kerana mempertemukan aku dengannya. Terima kasih, Azza wa Jalla kerana kau mempertemukan aku dengan seorang lelaki yang bisa mendekatkanku dengan-Mu. Terima kasih, Ya Allah!

Sumber imej : Google Image

NIKAH AWAL VS MAKSIAT

Setiap saat, setiap waktu, setiap hari, setiap detik, para remaja di "bomb" dari segenap penjuru dengan pelbagai bentuk godaan yang boleh merangsang mereka agar tunduk kepada nafsu. Biasalah bila dah baligh, umur pun sudah meningkat, tanpa godaan pun keinginan tersebut akan timbul juga secara automatik. Apatah lagi sekiranya terdapat banyak godaan daripada suasana sekeliling. Maka secara logiknya, pasti keinginan seksual tu boleh teransang berlipat kali ganda malah, kadang kala ia turut berlaku pada belia yang baru menginjak ke usia remaja lagi.



Berita baru-baru ni mendedahkan kes remaja berumur 14 tahun secara senyap-senyap menjadikan hubungan seks sebagai hobi, dan ibu bapa remaja terbabit tidak tahu menahu langsung akan hal tersebut. Perkara ini mungkin mengejutkan masyarakat yang membacanya tetapi sebenarnya perkara sebegini sudah banyak terjadi dalam masyarakat kita. Ini kerana semuanya tidak mustahil apabila terdapat godaan dan rangsangan yang terlalu banyak di media massa dan elektronik. Maka inilah akibatnya apabila segala-galanya tidak dibendung dan segala perkara yang haram dihalalkan. Penyebab utama yang menyebabkan keruntuhan akhlak dan moral para remaja Islam.

Bayangkan jika sekarang ini sudah bermacam-macam perkara buruk terjadi terhadap generasi muda ini bagaimana pula nasib generasi muda pada masa akan datang? Berkemungkinan besar moral anak-anak muda akan lebih hancur, masyarakat menjadi punah ranah, dan negara akan jatuh kerana penuh dengan belia yang sudah rosak akhlaknya.

Maka apakah diantara jalan yang terbaik utk selesaikan masalah ini? Adakah jalan utk selamatkan spiritual remaja-remaja ini?

Setelah dirujuk pelbagai risalah dan buku-buku Islamik, yang membahaskan isu-isu semasa, dan cara-cara terbaik utk menyelamatkan masyarakat dan anak-anak muda, kebanyakkannya mencadangkan nikah awal sebagai satu cara untuk menghindarkan remaja daripada berterusan melakukan maksiat. Oleh itu, sebagai masyarakat yang prihatin kita seharusnya menggalakkan anak-anak muda supaya kahwin awal disamping menyediakan jalan untuk mereka agar dapat bernikah dengan sah tanpa syarat-syarat yang membebankan.
Islam amat menggalakkan anak-anak muda berkahwin awal. Kerana Islam melihat jiwa remaja pasti akan terancam lebih2 lagi dengan pelbagai godaan yg datang. 

Di dalam Al-Quran, Allah S.W.T ada berfirman:
"Dan kahwinkanlah orang-orang yang bujang di antara kamu....Jika mereka miskin, Allah akan memberi kemampuan kepada mereka.." (24:32)

Memang benar Islam mengajar kita untuk berpuasa dan menahan nafsu, menjaga pandangan dan sebagainya, tetapi harus diingat, bukan mudah untuk mengawal keinginan nafsu, lebih-lebih lagi nafsu remaja. Oleh itu, perkahwinan adalah jalan terbaik untuk mereka agar menghindarkan diri mereka daripada nafsu.
Namun perkahwinan bukanlah perkara yang mudah. Ibu bapa sudah tentu menginginkan anak-anak mereka berjaya dalam pendidikan, seterusnya memiliki kerjaya yang stabil dan sebagainya. Sudah tentu ibu bapa berfikir bahawa sekiranya mereka membenarkan anak-anak mereka bernikah awal sudah tentu jumlah wang yang terpaksa dikeluarkan tidak terkira banyaknya. Untuk perkahwinan sahaja mungkin akan mencecah tiga puluh ribu ringgit itu belum termasuk kewangan untuk menyara kehidupan mereka selepas berkahwin. Maka disebabkan hal-hal ini ramai yang beranggapan bahawa kahwin awal itu seolah-olah membebankan dan menyusahkan.

Namun, sebagai ibu bapa relakah anda melihat anak-anak remaja anda menghampiri maksiat dan seterusnya terjerumus dalam perkara-perkara yang tidak diingini? Nauzubillah.. Bukankah lebih baik sekiranya anda mempermudahkan anak-anak anda untuk bernikah seandainya mereka dan pasangan mereka sudah terlalu sayang akan satu sama lain? Mungkin perbuatan tidak semudah kata-kata tetapi kita perlu teliti semua aspek dan kesan-kesan yang bakal anak-anak anda hadapi seandainya dibiarkan berterusan bercinta tanpa sebarang ikatan.

Maka, di sini ada disenaraikan beberapa cara untuk membantu anak-anak muda zaman sekarang kahwin awal , yg pertama:

1."Sokongan kewangan" daripada ibu bapa yang berkemampuan.
Ibu bapa yg berkemampuan digalakkan supaya memberi sokongan kewangan kepada para remaja-remaja ini agar mereka dapat berkahwin awal dan bantu mereka menyelesaikan apa-apa yang patut. Islam menggalakkan kita untuk menolong manusia lain yang berada dalam kesusahan sebagai contohnya membantu orang-orang miskin dan orang sakit, oleh itu, sudah tentu sekiranya kita membantu anak sendiri membina masjid iaitu mendirikan rumah tangga ganjarannya pasti lebih besar bukan? 

2. Sokongan Masyarakat.
Masyarakat sewajarnya mewujudkan sebuah organisasi yang menyediakan dana untuk menolong anak-anak remaja ini berkahwin awal. Mengikut sejarah, pernah sekali, seorang lelaki ditangkap dan dibawa menghadap Sayyidina Ali atas perlakuan yg tidak sopan. Selepas Ali menjalankan hukuman yg sepatutnya, beliau mengahwinkan pemuda ini dengan menggunakan kewangan negara.

3. Nikah Gantung.
Iaitu si teruna dan dara tersebut bernikah untuk menghalalkan hubungan antara lelaki dan wanita. Majlis perkahwinan tersebut ditangguh selepas satu ketika dimana pasangan tersebut telah mempunyai sumber kewangan yang kukuh. Kebiasaannya mereka akan tinggal berasingan untuk memfokuskan diri terhadap pelajaran dan sebagainya. Tetapi mereka ini dihalalkan untuk berjumpa dan berpegangan tangan, berdating dan sebagainya ini kerana hubungan antara mereka telahpun halal jika mengikut syarak. Oleh itu andainya mereka bercinta sakan umpama sepasang kekasih yang selalu kita lihat berpeleseran di shopping-shopping complex sekalipun mereka tidak akan mendapat dosa kerana mereka tidak melakukan maksiat.  Malah, seandainya mereka mengambil keputusan untuk tinggal bersama dan melakukan hubungan suami isteri juga tidak salah malah di galakkan didalam Islam. 

4.  Bernikah seperti biasa tetapi..
Cara yang terakhir adalah pasangan remaja ini bernikah dan mengadakan majlis perkahwinan seperti biasa namun, bijak merancang kekeluargaan agar tidak menimang cahaya mata sehingga mempunyai pekerjaan yang tetap dan mempunyai sumber kewangan yang kukuh. Ya,begitulah antara kaedah-kaedah yang boleh anda lakukan untuk menggalakkan perkahwinan antara remaja agar dapat mengelak fitnah dan maksiat. Namun, perlu diingatkan ibu bapa perlulah bersikap terbuka sekiranya anak mereka menyatakan hasrat untuk berkahwin walaupun dikala usia masih muda. Selaku ibu bapa anda juga perlu menasihatkan anak bahawa mereka perlu serius dan komited sekiranya benar-benar ingin berkahwin. Ini kerana perkahwinan bukanlah sesuatu yang mudah. Onak duri kehidupan itu pasti akan lebih terasa selepas berada di dalam alam perkahwinan. Sabar, tabah dan keimanan yang tinggi perlu di terapkan dalam jiwa agar perkahwinan yang dibina itu tidak berakhir dengan perkara-perkara yang tidak diingini. Selepas berkahwin, pasangan perlulah membimbing antara satu sama lain agar dapat mendekatkan diri mereka kepada Allah S.W.T.
Apabila kita memahami perspektif Islam yang menggalakkan perkahwinan awal, maka insya-Allah kita akan bersikap lebih terbuka untuk membenarkan remaja-remaja ini berkahwin awal. Andainya ada antara mereka yang belum sempurna pendidikan agamanya, adalah baik seandainya ibu bapa mendidik mereka dengan ilmu agama samada sebelum dan selepas berkahwin. Usahlah anda menghalang para remaja yang ingin mendirikan rumah tangga seandainya mereka masih belajar di Universiti atau Kolej. Yakinlah, dengan bantuan Allah sudah tentu mereka masih boleh menamatkan pengajian masing-masing walaupun bernikah ketika masih belajar.
Bukanlah, niat saya hendak memaksa para ibu bapa mengahwinkan anak-anak anda diwaktu usia muda. Namun, ini adalah antara jalan terbaik yang diajarkan oleh Islam itu sendiri. Terpulang pada anda untuk menentukan yang mana yang lebih baik untuk anak-anak anda kerana sudah tentu anda lebih mengenali mereka. Cuma, seandainya anda mendapati anak remaja anda sudah terlalu sayang dan cintakan kekasihnya bukankah lebih baik untuk menghalalkan hubungan tersebut?

Sama-sama kita  merebut kejayaan !

Sumber imej : Google Image

AKU MAHU BERCINTA

Zulaikha : Kau pernah couple tak?

Aku : Err... selama 21 tahun hidup ni aku tak pernah couple.

Zulaikha : Tipu lah! Tak kan sekali pun tak pernah?

Aku : Betul lah. Tak percaya sudah!

Zulaikha : Kau tengok Ain dengan Hasyir tu, sweet kan tengok diorang couple.

Aku : Sweet macam mana tu?



Zulaikha : Ye la! Aku dengar dah lama diorang bersama, dari zaman sekolah lagi. Dekat tujuh tahun tu! kekal lagi diorang sampai sekarang. Alangkah bagusnya kalau aku dapat pakwe macam Hasyir tu.

Aku : Pakwe macam Hasyir?

Zulaikha : Aku ni tiada siapa nak kat aku, aku juga tak pernah couple. Aku tidak pernah rasa cinta dari seorang lelaki, aku rasa macam hidup aku kosong je. Kalau ada pakwe kan seronok. Hmm... ada orang yang ambil berat tentang aku, makan minum aku, sihat ke tidak. Rasanya aku kena tukar stail aku kot supaya aku lebih nampak seksi dan menarik di mata lelaki.

Aku : Astaghfirullah hal’azim...! Kau cakap apa ni Zulaikha? Aku juga tidak pernah couple, tapi aku tidak pernah merasakan kekosongan dalam hidup aku. Sebab aku tahu Allah sentiasa ada bersama hamba-hambanya, jodoh pertemuan itu Allah S.W.T kan dah tentukan. Siapalah kita untuk mempersoalkan kuasa-Nya?

Zulaikha : Aku teringin ada seseorang yang aku cintai dalam hidup aku.

Aku : Zulaikha, setiap manusia itu memang tidak terlepas daripada perasaan ingin bercinta dan dicintai. Cinta itu fitrah cuma jangan sampai cinta itu menjadi fitnah. Kau lihat sahaja pasangan couple yang ada di sekeliling kita. Aku tidak mahu kau menjadi salah seorang daripada mereka! Kekalkan penampilan kau sebegini, biar nampak sederhana asalkan sempurna! Dekatkan diri pada Allah, sentiasa berdoa. Insyaallah, jodoh kau pasti tiba suatu hari nanti.

- SUMBER : ILUVISLAM -

RASULULLAH DAN WABAK

Di dalam kesibukan kita membicarakan mengenai penyakit Influenza A (H1N1) yang menjadi Epidemik sejak setahun dua ini tergerak di hati saya untuk menulis mengenai kekasih agung kita Rasulullah S.A.W. yang juga merupakan pakar dalam bidang ilmu mikrobiologi, yakni ilmu mengenai microorganisma yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar seperti virus, bakteria, fungus, Protozoa dan sebagainya.

Hal ini dapat dibuktikan dengan kaedah 'kuaratin' yang sebenarnya telah lama diamalkan oleh Rasulluah S.A.W. dalam mencegah penularan wabak penyakit berjangkit seperti H1N1 ini.

Hal ini seperti yang disabdakan oleh Rasullulah S.A.W. yang bermaksud :  "Jika kamu mendengar sesuatu wabak menular di sebuah tempat, janganlah kamu memasuki kawasan itu. Namun jika wabak tersebut merebak di tempat kamu , janganlah kamu meninggalkan kawasan tersebut. " ( Riwayat Bukhari dan Muslim ) .

Inilah sistem kuaratin yang dianjurkan oleh Rasulullah S.A.W. Sistem ini menegaskan bahawa semua penduduk di kawasan yang terkena wabak dilarang meninggalkan kawasan itu dan mereka dari luar juga dilarang daripada memasuki kawasan wabak tersebut. Hal ini terbukti setelah berlaku penemuan mikroorganisma dan manusia mula mengkaji bagaimana organisma-organisma itu merebak . Nabi Muhammad S.A.W. juga telah memberikan jaminan mati syahid kepada mereka yang tidak meninggalkan kawasan yang mereka duduki dan kecelakaan buat mereka yang lari dari kawasan wabak penyakit tersebut .

Sabda baginda S.A.W. yang bermaksud :
"Sesiapa yang lari dari kawasan wabak, mereka umpama lari dari medan jihad dijalan Allah S.W.T. dan sesiapa yang bersabar dan menetap didalamnya maka dia akan dianugerahkan mati syahid " ( Riwayat Ahmad) .

Subhanallah sungguh hebat dan takjubnya bagaimanakah Rasullulah S..A.W. mendapat kaedah ini. Tidak lain tidak bukan tentulah dari Yang Maha Agung. Dalam tak  sedar juga Islam sebenarnya telah mengajar penganut untuk membersihkan diri dari segala kekotoran misalnya kita Disuruh untuk berwuduk sebelum solat dan dilakukan sebanyak lima kali sehari dan ini membuktikan islam amat menitikberatkan kebersihan yang jika tidak dijaga akan menyebabkan berlakunya penyebaran penyakit oleh organisma-organisma ini.

Disamping itu, Islam juga mengajar adab-adab bersin misalnya mengucapkan 'Alhamdullilah' ketika bersin dan yang mendengarnya mengucapkan 'Yarhamukallah' bagi orang yang bersin. Dalam tak sedar kita sudah mendoakan untuk kebaikan antara satu sama lain dan seterusnya jika garis panduan seperti adab ketika bersin dipatuhi sudah semestinya akan mengelakkan penularan wabak penyakit .

Akhir sekali, Rasullulah juga amat menitikberatkan mengenai kebersihan di persekitaran rumah.

Sabda baginda S.A.W. :
"...bersihkanlah halaman dan pekarangan rumah kamu daripada kotoran dan sampah- sarap. Janganlah kamu menyerupai rumah orang Yahudi." (Riwayat At Tirmizi)."

Alangkah indahnya sekiranya kita dapat mengikuti kaedah yang ditetapkan oleh islam dalam mengelakkan diri dari tersebarnya wabak penyakit. Jelaslah juga bahawa islam sebenarnya telah mendahului zaman dalam kajian mengenai ilmu yang melibatkan mikroorganisma. Segalanya datang dari wahyu yang diturunkan oleh Allah S.W.T. kepada kekasih kita Muhammad S.A.W.