JellyPages.com

"Hidup Memerlukan Seribu Pengorbanan"

"Hidup Memerlukan Seribu Pengorbanan"

Friday, June 3, 2011

NAZAR


3.0.NAZAR
3.1.PENGERTIAN NAZAR
Menurut syarak, nazar membawa maksud sebagai janji untuk kebaikan khasnya. Istilah ulama’ feqah pula ialah beriltizam untuk mendekatkan diri dengan kewajipan yang tidak disyarakkan secara mutlak atau pun terikat dengan sesuatu. Nazar ialah janji manusia kepada Allah SWT kerana menghargai nikmat yang diterima atau mendapat hajat yang dicita. Janji ini wajib ditunaikan. Nazar mewajibkan atas diri sendiri untuk melakukan sesuatu ibadah untuk Allah SWT yang asal hukumnya tidak wajib. Pengertian nazar menurut istilah secara mudah ialah mewajibkan diri sendiri melakukan sesuatu amalan dengan niat mendampingi diri pada Allah.


3.2.KONSEP NAZAR DALAM ISLAM
  • Ayat 1 (Surah al-Baqarah ayat 270) mafhumnya :
270. dan (ketahuilah), apa sahaja Yang kamu belanjakan (dermakan) atau apa sahaja Yang kamu nazarkan maka Sesungguhnya Allah mengetahuiNya dan (ingatlah), orang-orang Yang zalim itu tidak ada sesiapa pun Yang dapat menolongnya.
·         Ayat 2 (Surah al-Imran ayat 35) mafhumnya :   
35. (ingatlah) ketika isteri Imran berkata:" Tuhanku! Sesungguhnya Aku nazarkan kepadamu anak Yang ada Dalam kandunganku sebagai seorang Yang bebas (dari Segala urusan dunia untuk berkhidmat kepadamu semata-mata), maka Terimalah nazarku; Sesungguhnya Engkaulah Yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.”
  • Ayat 3 (Surah Maryam ayat 26) mafhumnya :
26. "Maka makanlah dan minumlah serta bertenanglah hati dari Segala Yang merunsingkan. kemudian kalau Engkau melihat seseorang manusia, maka katakanlah: Sesungguhnya Aku bernazar diam membisu kerana (Allah) Ar-Rahman; (setelah Aku menyatakan Yang demikian) maka Aku tidak akan berkata-kata kepada sesiapapun dari kalangan manusia pada hari ini".


3.3.MUNASABAH AYAT
3.3.1.MUNASABAH AYAT SEBELUMNYA
  • Ayat 1 (Surah al-Baqarah ayat 269) mafhumnya :  Ayat ini menceritakan berkaitan dengan nikmat yang dikurniakan oleh Allah SWT. Allah SWT mengurniakan al-hikmah iaitu kefahaman yang dalam tentang al-Quran dan as-Sunnah kepada sesiapa yang dikehendaki Allah SWT. Hal ini menunjukkan bahawa individu tersebut adalah individu yang mendapat hidayah daripada Allah SWT. Keberuntungan terhadap individu yang dianugerah al-hikmah benar-benar telah dikurniakan sesuatu yang banyak. Ianya kerana kandungan al-Quran yang merangkumi semua aspek kehidupan. Juga ditegaskan bahawa, orang-orang yang menggunakan akal yang akan mendapat pengajaran daripada ayat Allah SWT.  
  •  Ayat 2 (Surah al-Imran ayat 34) mafhumnya : Ayat ini menceritakan bahawa keutamaan keluarga Imran. Mafhum ayatnya berbunyi yang mana keluarga Imran merupakan satu keturunan yang terpilih daripada segala umat dimasa mereka masing-masing. Sedungguhnya Allah SWT maha mengetahui lagi maha mendengar.


3.3.2.MUNASABAH AYAT SELEPASNYA
  • Ayat 1 (Surah al-Baqarah ayat 271) mafhumnya : Ayat ini menceritakan berkaitan dengan sedekah yang dilakukan. Menyembunyikan pemberian terhadap orang-orang fakir itu adalah jauh lebih baik daripada memberikan sedekah yang dilakukan secara menampakkannya atau memperlihatkannya. Maka sedekah yang dilakukan secara sembunyi dengan ikhlas itu akan Allah SWT menghapuskan sebahagian kesalahan-kesalahan orang tersebut. Allah maha mengetahui segala apa yang dilakukan oleh hambanya.
  • Ayat 2 (Surah al-Imran ayat 36) mafhumnya : Ayat ini menceritakan berkaitan kelahiran Maryam. Ditegaskan dalam ayat ini bahawa Allah SWT lebih mengetahui akan sesuatu perkara. Isteri Imran menginginkan anak lelaki namun dia mendapat anak perempuan yang bernama Maryam. Lalu isteri Imran memohon kepada Allah SWT supaya melindungi anak-anak dan keturunannya daripada syaitan yang terkutuk.


3.4.HURAIAN AYAT
  • Ayat 1 (Surah al-Baqarah ayat 270) mafhumnya : Ayat ini menceritakan bahawa Allah SWT maha mengetahui pada setiap apa yang dinafkahkan dan apa yang dinazarkan. Setiap nazar yang dilakukan adalah dalam pengetahuan Allah SWT. Dalam ayat ini turut ditegaskan bahawa seseorang yang zalim tidak akan mendapat sebarang pertolongan daripada Allah SWT.
  • Ayat 2 (Surah al-Imran ayat 35) mafhumnya : Ayat ini menceritakan berkaitan dengan nazar yang dilakukan oleh isteri Imran yang mana dia menazarkan anak yang berada dalam kandungannya untuk menjadi hamba yang saleh dan berkhidmat kepada Allah SWT sebagai hamba abdi yang saleh (berkhidmat di Baitul Maqdis). Isteri Imran memohon kepada Allah SWT agar nazar yang dilakukannya itu diterima oleh Allah SWT. Ditegaskan juga dalam ayat tersebut bahawa Allah maha mengetahui lagi maha mendengar.

3.5.NAZAR ADALAH IBADAH
Sesuatu nazar yang berbentuk ibadah yang asalnya sunat akan menjadi wajib dengan bernazar untuk melakukannya. Contohnya, anda bernazar untuk puasa hari Isnin dan hari Khamis selama sebulan. Sedangkan hukum asal Isnin dan Khamis adalah sunat, namun dengan bernazar berubah menjadi wajib. Contoh-contoh nazar:-
  • Berpuasa.
  • Mencukur rambut.
  • Sedekah.


3.6.DALIL PENSYARIATAN BERKAITAN NAZAR
Firman Allah s.w.t di dalam Surah al-Haj ayat 29 mafhumnya :
29. "Kemudian hendaklah mereka membersihkan dirinya dan hendaklah mereka menyempurnakan nazar-nazarnya, dan hendaklah mereka tawaf akan Baitullah (Kaabah) Yang tua sejarahnya itu".


3.7.HUKUM NAZAR
Nazar disyariatkan oleh Islam dan diharuskan untuk menghampirkan diri kepada Allah. Oleh sebab ia itu para ulama’ feqah berpendapat tidak sah nazar orang kafir. 


3.8.RUKUN NAZAR
  • Orang yang bernazar.
  • Pekara yang dinazarkan.
  • Ucapan yang diguna untuk bernazar.


3.9.SYARAT ORANG YANG BERNAZAR
  • Islam, tidak sah nazar kafir, kerana kafir tidak sah berbuat kebajikan.
  • Pilihan sendiri yakni tidak dipaksa, tidak sah nazar orang yang dipaksa.
  • Lulus memerintah pada benda yang dinazarkan, tidak sah dinazar seumpama menyembelih kambing oleh orang yang ditahan daripada memerintah harta dengan sabab muflis atau bankrap, bodoh, kanak kanak dan oramg gila. Syarat ini pada nazar yang melibatkan harta ada pun nazar yang tidak melibatkan harta maka sah nazar orang yang muflis dan bodoh, seperti bernazar hendak berpuasa.
  • Boleh memperbuat perkara yang dinazarkan. Maka tidak sah bernazar seorang akan puasa yang dia tidak kuasa lakukan seperti puasa sepanjang hayat atau bernazar hendak mengerjakan haji pada tahun ini pada hal dia tidak sempat hendak pergi ke Mekah dengan sebab jauh atau sempit waktu.

3.10.SYARAT UCAPAN YANG DIGUNA UNTUK BERNAZAR
·         Disyaratkan pada ucapan nazar hendaklah lafaz yang memberi tahu melazimkan (mewajibkan) sesuatu, seperti berkata seorang yang bernazar “bagi Allah wajib atas ku puasa”. Puasa di sini sebagai contoh boleh dimasukkan yang lain.
  • Tidak sah nazar dengan diniat didalam hati, kerana nazar termasuk dalam akad maka syaratnya mesti berlafaz.


3.11.SYARAT PERKARA YANG DINAZARKAN
  • Hendaklah perkara yang dinazarkan itu kebajikan yakni taat yang mendampingkan diri kepada Allah yang tidak tertentu atasnya.
  • Tidak sah nazar pada perkara yang tertentu wajib atas orang yang bernazar, seperti sembahyang fardu.
  • Tidak sah nazar pada perkara maksiat seperti sembahyang dengan tidak berwudu, minum arak dan lainnya.
  • Tidak sah nazar pada perkara yang makruh seperti puasa selama lamanya bagi mereka yang takut mudarat atau takut luput hak, seperti nafkah keluarga.
  • Tidak sah nazar pada perkara yang harus seperti makan, berdiri atau duduk, sama ada nazar hendak melakukan perkara yang harus itu atau tidak mahu melakukannya.
  • Apabila seorang itu bernazar pada perkara yang tidak sah nazarnya nescaya dia tidak wajib membayar kafarah dengan sebab dia menyalahi dengan apa yang dinazarkan, sekalipun pada perkara yang harus.


3.12.KEWAJIPAN MENUNAIKAN NAZAR JIKA TERTANGGUH
Apabila seseorang itu telah bernazar maka wajib ke atasnya melangsaikan tanpa bertangguh apabila hajatnya dikabulkan oleh Allah SWT. Maka nazar adalah hutangnya kepada Allah SWT yang telah berjanji menunaikan sesuatu ibadat seperti mana yang dinazarkan. Maka pada dasarnya janji itu wajib ditepati tanpa bertangguh bila mampu berbuat demikian. Adapun amalan yang perlu dilakukan oleh seseorang berpandukan suruhan Allah SWT dalam al-Quran apabila gagal menunaikan nazarnya kepada Allah SWT, firman di dalam Surah al-Maidah ayat 89 yang bermaksud:
89. kamu tidak dikira salah oleh Allah tentang sumpah-sumpah kamu Yang tidak disengajakan (untuk bersumpah), akan tetapi kamu dikira salah olehNya Dengan sebab sumpah Yang sengaja kamu buat Dengan bersungguh-sungguh. maka bayaran dendanya ialah memberi makan sepuluh orang miskin dari jenis makanan Yang sederhana Yang kamu (biasa) berikan kepada keluarga kamu, atau memberi pakaian untuk mereka, atau memerdekakan seorang hamba. kemudian sesiapa Yang tidak dapat (menunaikan denda Yang tersebut), maka hendaklah ia berpuasa tiga hari. Yang demikian itu ialah denda penebus sumpah kamu apabila kamu bersumpah. dan jagalah - peliharalah sumpah kamu. Demikianlah Allah menerangkan kepada kamu ayat-ayatNya (hukum-hukum ugamanya) supaya kamu bersyukur.


3.13.PEMBAHAGIAN NAZAR
Nazar dari segi amalan dan penghayatannya terbahagi tiga, iaitu:
  • Nazar melakukan kebajikan, misalnya ia berkata: Jika saya memperoleh kejayaan cemerlang dalam peperiksaan, saya akan berpuasa sebulan dan sebagainya atau jika saya beroleh anak lelaki, saya akan membina sebuah masjid.
  • Nazar melakukan sesuatu yang diharuskan, misalnya ia berkata: Jika saya disembuhkan daripada penyakit ini, saya akan melancong ke luar negara dan sebagainya.
  • Nazar melakukan maksiat, misalnya ia berkata: Jika saya mendapat bonus pada tahun ini, saya akan tinggalkan sembahyang atau menajakan suatu perjudian (barang dijauhi Allah).


3.14.JENIS-JENIS NAZAR
Nazar terbahagi kepada 3 jenis iaitu sebagaimana berikut :
  • Pertama : Nazar Lajaj (Nazar Perbantahan). Ia merupakan nazar yang berlaku ketika seseorang itu berada dalam keadaan hilang pertimbangan diri akibat terlalu marah seperti dia berkata ketika dalam keadaan itu :  “Sekiranya aku bercakap dengan si pulan maka demi Allah atasku puasa sebulan”.
  • Kedua  : Nazar al-Mujazah (Pembalasan). Ia merupakan nazar yang mana seseorang itu bergantung pada sesuatu yang akan menyebabkan dia akan melakukan sesuatu. Dia berbuat demikian bukannya ketika hilang pertimbangan diri akibat terlalu marah. Contohnya seperti seorang yang bernazar itu berkata : “Sekiranya Allah menyembuhkan penyakitku ini maka demi Allah aku akan bersedekah seekor kambing”.
  • Ketiga  : Nazar Mutlak (Semata-mata). Ia merupakan nazar yang mana dilafazkan oleh seseorang bagi tujuan mendekatkan diri kepada Allah tanpa mengaitkan nazarnya itu dengan sesuatu perkara yang lain dan juga bukan dilafaz ketika hilang pertimbangan diri kerana terlalu marah. Contohnya seseorang itu berkata : “Bagi Allah atasku puasa pada hari Khamis”.
·         Dipanggil juga nazar jenis kedua dan ketiga sebagai nazar kebajikan kerana orang yang bernazar itu berniat untuk berbuat kebajikan dan menghampirkan diri kepada Allah.



4.0.KEWAJIPAN MENUNAIKAN NAZAR
 
89. kamu tidak dikira salah oleh Allah tentang sumpah-sumpah kamu Yang tidak disengajakan (untuk bersumpah), akan tetapi kamu dikira salah olehNya Dengan sebab sumpah Yang sengaja kamu buat Dengan bersungguh-sungguh. maka bayaran dendanya ialah memberi makan sepuluh orang miskin dari jenis makanan Yang sederhana Yang kamu (biasa) berikan kepada keluarga kamu, atau memberi pakaian untuk mereka, atau memerdekakan seorang hamba. kemudian sesiapa Yang tidak dapat (menunaikan denda Yang tersebut), maka hendaklah ia berpuasa tiga hari. Yang demikian itu ialah denda penebus sumpah kamu apabila kamu bersumpah. dan jagalah - peliharalah sumpah kamu. Demikianlah Allah menerangkan kepada kamu ayat-ayatNya (hukum-hukum ugamanya) supaya kamu bersyukur.


4.1.MUNASABAH AYAT
4.1.1.MUNASABAH AYAT SEBELUMNYA
Munasabah ayat sebelumnya adalah berkaitan dengan larangan mengharamkan makanan yang halal. Ayat 88 surah al-Ma’idah menceritakan bahawa makanan yang halal adalah lebih baik daripada apa yang Allah telah rezekikan. Ayat ini juga menyeru manusia agar bertaqwa kepada Allah dengan mengimaninya serta beriman kepada Allah SWT.

4.1.2.MUNASABAH AYAT SELEPASNYA
Munasabah ayat selepasnya adalah berkaitan dengan larangan meminum arak atau khamar, berjudi, berkorban untuk berhala dan mengundi nasib. Ayat 90 surah al-Ma’idah ini menceritakan bahawa perbuatan tersebut adalah diharamkan dan merupakan perbuatan yang keji. Ianya merupakan perbuatan yang termasuk dalam amalan syaitan. Ayat ini juga menyeru agar menjauhi perbuatan-perbuatan ini supaya mendapat keberuntungan.



4.2.HURAIAN AYAT
Ayat tersebut (surah al-Ma’idah ayat 89) dimulai dengan menyatakan hukum bersumpah tanpa niat. Hukuman tidak dikenakan kepada orang yang melakukan sumpah tanpa niat. Tetapi hukuman dikenakan jika sumpah yang dilakukan dengan niat. Kandungan ayat tersebut juga turut menyatakan hukuman terhadap sumpah. Maka bagi orang yang melanggar sumpah dikenakan kaffarah sumpah iaitu member makan kepada sepuluh orang miskin, iaitu dari makanan yang biasa kamu berikan kepada keluarga kamu. Selain itu memberi pakaiana kepada sepuluh orang miskin atau memerdekakan seseorang seorang hamba. Turut ditegaskan bahawa, sesiapa yang tidak mampu melaksanakan kaffarah yang telah dinyatakan tadi, maka kaffarahnya lain adalah berpuasa selama tiga hari. Jelas dinyatakan kaffarah sumpah yang perlu dilaksanakan oleh seorang yang bersumpah. Disamping itu, ayat ini juga melarang setiap individu daripada bersumpah. Jika sumpah dilakukan juga, pesumpah tersebut kena menjaga sumpah yang telah dilakukan. Diakhir ayat turut diselitkan peringatan yang mana Allah SWT menerangkan hukum-hukumnya kepada makhluknya agar makhluknya tahu bersyukur.


4.3.KAFARAH PENEBUS NAZAR
Maka berpandukan kepada ayat di atas jelas bahawa kafarah (penebus) bagi nazar adalah seperti berikut:
  1. Memberi makan 10 orang miskin, iaitu dari makanan yang biasa kamu berikan kepada keluarga kamu.
  2. Memberi pakaian kepada 10 orang miskin
  3. Memerdekakan seorang hamba
  4. Mereka yang tidak mampu melakukan ketiga-tiga perkara di atas bolehlah berpuasa selama tiga hari.


4.4.HUKUM BAGI SETIAP NAZAR
  • Pertama : Nazar Lajaj. Hukumnya bergantung kepada perkara yang dikaitkan dengannya iaitu apa yang dinazar. Jika ia boleh berlaku maka wajib atas orang yang bernazar itu untuk melaksanakan apa yang dinazarkan atau pun membayar kafarah sumpah. Dia dibolehkan untuk memilih antara keduanya kerana nazar jenis ini hampir sama dengan nazar dari sudut mewajibkan diri (mewajibkan berpuasa sebulan misalnya) dan menyerupai sumpah pada sudut keadaannya sebagai jalan ke arah menghalang daripada sesuatu(tidak mahu bercakap dengan si pulan misalnya). Dalilnya adalah sebagaimana hadis yang diriwayatkan oleh imam Muslim daripada ‘Uqbah bin ‘Amir daripada Rasulullah S.A.W telah bersabda yang bermaksud : Kafarah nazar seperti kafarah sumpah.
  • Kedua  : Nazar al-Mujazah. Hukumnya ialah jika apa yang dikaitkan dengan apa yang dinazar berlaku seperti sembuh daripada penyakit maka dia diwajibkan untuk melaksanakan apa yang telah dinazar seperti sedekah seekor kambing. Dia tidak boleh menggantikannya dengan perkara lain. Dalilnya sebagaimana maksud firman Allah dalam ayat 29 surah al-Haj mafhumnya : 
29. "Kemudian hendaklah mereka membersihkan dirinya dan hendaklah mereka menyempurnakan nazar-nazarnya, dan hendaklah mereka tawaf akan Baitullah (Kaabah) Yang tua sejarahnya itu".
Dan kamu hendaklah menepati dengan janji Allah apabila kamu berjanji. Maksud hadis Rasulullah yang diriwayatkan oleh imam Bukhari daripada Sayyidatina ‘Aishah: Sesiapa yang bernazar untuk mentaati Allah maka taatilah akanNya.
  • Ketiga  : Nazar Mutlak. Hukumnya ialah wajib ke atas orang bernazar untuk melaksanakan apa yang telah dinazarkan secara mutlak tanpa terikat pada sesuatu perkara. Dalilnya adalah sebagaimana ayat 29 surah al-Haj yang mafhumnya :  
29. "Kemudian hendaklah mereka membersihkan dirinya dan hendaklah mereka menyempurnakan nazar-nazarnya, dan hendaklah mereka tawaf akan Baitullah (Kaabah) Yang tua sejarahnya itu".
Sebagaimana disebut dalam nazar al-Mujazah di atas yang mana ia datang dengan dalil yang umum. Dia diharuskan untuk melewatkan pelaksanaan kepada apa yang telah dinazarkan sehinggalah dia merasakan bahawa dirinya sudah mampu untuk melaksanakannya seperti berpuasa pada hari Khamis. Dia tidak boleh menukar nazarnya itu dengan kafarah sumpah kerana makna sumpah telah ternafi dengan nazar jenis ini.

No comments: