JellyPages.com

"Hidup Memerlukan Seribu Pengorbanan"

"Hidup Memerlukan Seribu Pengorbanan"

Monday, June 6, 2011

IJMAK


3.0.PENGERTIAN IJMAK
Ijma' atau Ijmak ( إجماع ) dari segi makna bahasa adalah azam atau tekad. Manakala dari segi istilah syara’ pula, Ijmak adalah kesepakatan yakni kesepakatan para ulama dalam menetapkan suatu hukum dalam agama Islam berasaskan Al-Quran dan Hadis tentang suatu perkara yang terjadi pada suatu masa setelah zaman Rasulullah SAW. Dari sudut Bahasa Arab al-Ijma' ialah kesungguhan dan persetujuan. Dari sudut istilah,  al-Ijma' ialah, persetujuan para mujtahid umat selepas wafatnya Rasulullah SAW, terhadap satu hukum agama. Berdasarkan definisi persetujuan maka terkeluarlah perselisihan walaupun hanya seorang sahaja yang menyalahi. Perkara ini membatalkan al-Ijma' (persepakatan). Berdasarkan para mujtahid maka terkeluarlah orang awam dan orang muqallid (orang yang ikut tanpa dalil). Persetujuan dan perselisihan mereka (dua golongan ini) tidak diiktiraf. Selain itu, ijmak menurut ulama ilmu Ushul Fikih adalah kesepakatan semua mujtahid Islam pada satu masa setelah kewafan Nabi Muhammad SAW atas hukum-hukum syarak mengenai sesuatu kejadian yang tidak ada ketetapan nas. Ijmak juga menurut pengertian yang asli membawa maksud kata sepakat atau kata sependapat yang lazimnya disebut dewasa ini ialah konsensus (sebulat suara). Mengikut pengertian daripada ulama Fiqah dan ulama Usul Fiqah adalah sangat terbatas antaranya ialah :
  • Kesepakatan daripada para ulama mujtahid. Maka tidak sah ijmak daripada ulama biasa atau para umara’. 
  •  Kesepakatan dua orang ulama. 
  • Masalah yang diperkatakan adalah berkaitan dengan masalah Fiqhiyyah yang belum ada ketentuan didalam al-Quran dan As-Sunnah.
  • Kata sepakat yang berlaku selepas kewafatan Nabi Muhammad SAW.


4.0.HUKUM IJMAK
Segala masalah Fiqhiyyah yang sudah dilakukan ijmak keatasnya oleh para mujtahid maka wajib ditaati. Hukum yang ditetapkan tidak boleh dilanggar atau ditentang oleh sesiapa pun termasuk mujtahid yang lahir kemudian. Sebahagian Ahlu Usul Feqah berkata bahawa mengingkari hukum ijmak yang qat’i adalah kufur. Ianya kerana pengingkaran yang dilakukan merangkumi pengingkaran suatu dalil yang meliputi pengingkaran terhadap Rasulullah SAW. Sementara bagi perkara yang hukumnya tidak ditetapakan secara qat’i maka hukum melanggarnya adalah tidak kufur. Sebahagian ulama lain, seperti Imam al-Haramain mengatakan, mengingkari hukum ijmak tidak kufur, kerana dalil kehujahan ijmak adalah zanniyy. Seterusnya mengingkari kehujahan dalil tidak kafir. Biarpun ada perselisihan ulama tentang pengingkaran ijmak, namun ijmak ulama merupakan ijtihad ulama yang secara tidak langsung ia adalah keputusan yang dibuat bersumberkan al-Quran dan as-Sunnah. Oleh itu segala ijmak yang disepakati serta dinyatakan oleh ulama mujtahid terhadap sesuatu hukum syarak mestilah dengan berdasarkan kepada al-Quran dan as-Sunnah. Dari situlah ijmak itu dapat diterima sebagai suatu dalil dan hujah yang muktamad.



5.0.HURAIAN BERKAITAN KATA SEPAKAT
Berikut merupakan beberapa penerangan berkaitan dengan kata sepakat yang dilakukan oleh para mujtahid untuk melakukan ijmak :
  • Tiap-tiap mujtahid pada masa itu mengeluarkan fatwa dalam satu peristiwa atau berbagai-bagai peristiwa yang sama keadaaannya. Contohnya, tidak wajib membayar zakat emas yang kurang daripada nisabnya.
  • Para mujtahid memutuskan sesuatu perkara atas perbincangan yang dilakukan secara bersama-sama didalam satu majlis.
  • Setiap pendapat yang dipersetujui tidak mendapat sebarang penentangan daripada mana-mana ahli mujtahid yang ada. Ianya membawa maksud persetujuan.


6.0.DALIL KEHUJAHAN IJMAK
Ijmak yang diterima daripada para mujtahid adalah sama seperti apa yang diterima secara mutawatir. Penggunaan Ijmak disyariatkan dalam beberapa dalil. Diantaranya ialah :
  • Dalil daripada al-Quran adalah seperti berikut yang dipegang olah imam Mazhab Syafie sebagaimana firman Allah SWT dalam surah an-Nisa’ ayat 115 yang mafhumnya :
Dan sesiapa Yang menentang (ajaran) Rasulullah sesudah terang nyata kepadanya kebenaran pertunjuk (yang dibawanya), dan ia pula mengikut jalan Yang lain dari jalan orang-orang Yang beriman, Kami akan memberikannya Kuasa untuk melakukan (kesesatan) Yang dipilihnya, dan (pada hari akhirat kelak) Kami akan memasukkannya ke Dalam neraka jahanam; dan neraka jahanam itu adalah seburuk-buruk tempat kembali.
Ayat tersebut menyatakan bahawa Allah SWT menjanjikan azab terhadap sesiapa yang menentang Rasulullah SAW dan mengikuti jalan yang bukan orang beriman. Jalan orang yang beriman ialah apa yang mereka sepakati daripada hukum dan perundangan, selain itu bukan jalan mereka adalah jalan yang ditegah untuk mengikutinya. Ia menunjukkan bahawa ijmak ulama adalah hujah.
  • Dalil al-Sunnah. Sebagaimana sabda Rasulullah s.aw. :

إِنَّ اللَّهَ لاَ يَجْمَعُ أُمَّتِي أَوْ قَالَ أُمَّةَ مُحَمَّدٍ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَلَى ضَلاَلَةٍ.

Maksudnya: Sesungguhnya Allah tidak akan mengumpul umatku atau umat Muhammad s.a.w. di atas kesesatan.
  • Mengikut logik akal. Umat dan ahli penduduk sesuatu tempat setiap zaman apabila mereka bersepakat terhadap sesuatu hukum serta berpegang dengannya, sudut logik mustahil tiada seorang pun dari kalangan mereka yang membawa peringatan di antara keputusan yang benar dan salah. Oleh itu sepakat dan keputusan yang dipegang itu merupakan dalil logik akal yang mana ijmak ulama menjadi hujah.


7.0.RUKUN IJMAK
Rukun-rukun ijmak menurut pendapat ulama’ usul fiqh adalah seperti berikut:-
  • Harus ada beberapa orang mujtahid dikala terjadinya peristiwa dan para mujtahid itulah yang melakukan kesepakatan (menetapkan hukum peristiwa itu). Seandainya tidak ada beberapa orang mujtahid di waktu terjadinya suatu peristiwa tentulah tidak akan terjadi ijmak, kerana ijmak itu harus dilakukan oleh beberapa orang.
  • Yang melakukan kesepakatan itu hendaklah seluruh mujtahid yang ada dalam dunia Islam. Jika kesepakatan itu hanya dilakukan oleh para mujtahid yang ada pada suatu tempat sahaja, maka kesepakatan yang demikian belum dapat dikatakan suatu ijmak.
  • Kesepakatan itu harus dinyatakan secara tegas oleh setiap mujtahid bahawa ia sependapat dengan mujtahid-mujtahid yang lain tentang hukum (syara') dari suatu peristiwa yang terjadi pada masa itu. Jangan sekali-kali tersirat dalam kesepakatan itu unsur-unsur paksaan, atau para mujtahid yang diharapkan kepada suatu keadaan, sehingga ia harus menerima suatu keputusan.
  • Kesepakatan itu dapat dilakukan dengan berbagai cara, seperti dengan pernyataan lisan, dengan perbuatan atau dengan suatu sikap yang menyatakan bahawa ia setuju atas suatu keputusan hukum yang telah disetujui oleh para mujtahid yang lain. Tentu saja keputusan yang terbaik ialah keputusan sebagai hasil suatu musyawarah yang dilakukan para mujtahid.
  • Kesepakatan itu hendaklah merupakan kesepakatan yang bulat dari seluruh mujtahid. Seandainya terjadi suatu kesepakatan oleh sebahagian besar mujtahid yang ada, maka keputusan yang demikian belum pasti ke taraf ijmak. Ijmak yang demikian belum dapat dijadikan sebagai hujjah syariah.
  • Kesepakatan mereka (para mujtahid) diawali dengan menyatakan pendapat masing-masing. Pendapat itu diungkapkan seperti fatwa atas sesuatu perkara.


8.0.KESEPAKATAN PARA ULAMA
Ijmak tidak akan berlaku melainkan setelah adanya kesepakatan ulama yang berijtihad (mujtahidin) pada sesuatu zaman tanpa kecuali seorang pun dari kalangan mereka. Ini bermakna, jika seorang sahaja yang membangkang maka tidak dianggap ijmak. Para mujtahidin biasanya berselisih pendapat dalam sesuatu hukum, tetapi dalam sesuatu hukum tertentu, tidak seorang pun di kalangan mereka yang berbeza pendapat, maka terjadilah ijmak. Dalam kitab Mirah al-Usul disebut “mestilah mendapat persetujuan seluruh para mujtahidin”. Ertinya jika seorang sahaja yang membangkang maka tidak dianggap ijma’. Bayangkan, para mujtahidin biasanya berkhilaf dalam sesuatu hukum syar`i tetapi dalam hukum berkenaan tidak seorang pun di kalangan mereka yang berkhilaf mengenainya.



9.0.PEMBAHAGIAN IJMAK
Ijmak ulama telah sepakat untuk membahagikan ijmak kepada dua kategori iaitu :
  • Ijmak sorih.
  • Ijmak sukuti.


9.1.IJMAK SORIH
Ijmak sorih dikenali juga sebagai ijmak nutqi. Setiap mujtahid menyatakan mereka menerima pendapat yang disepakati tersebut. Iaitu semua ulama sepakat pada sesuatu masalah hukum agama dalam satu tempoh masa tertentu. Dimana masing-masing mengeluarkan fatwa mereka sama ada berbentuk perbuatan atau perkataan. Antara lain, ijmak sorih ialah mujtahid sependapat mengenai sesuatu hukum dalam sesuatu masalah dengan menyatakan pendapat mereka secara jelas atau melalui tulisan atau melaksanakan hukum yang dibincangkan.


 9.2.KEHUJAHAN IJMAK SORIH
Ijmak sorih disepakati oleh jumhur fuqaha’ sebagai hujah juga merupakan hukum yang diterima secara putus. Oleh itu ianya tidak boleh diperselisihkan lagi.


9.3.IJMAK SUKUTI
Ijmak sukuti dikenali juga sebagai Ijmak I’tibari. Ijmak Sukuti bermaksud setengah mujtahid menyatakan pendapat terhadap sesuatu hukum sedangkan mujtahid lain sezaman dengannya setelah mendengar permasalahan itu mendiamkan diri tanpa membantah dan tanpa sebarang reaksi. Di mana mereka tidak mengingkarinya dengan jelas dan tidak menyatakan persetujuan dengan terang.


9.4.KEHUJAHAN IJMAK SUKUTI
Ulama berbeza pendapat berkaitan dengan Ijmak Sukuti. Terdapat golongan ulama yang menerima pakai dan ada yang menolak secara mutlak. Antara golongan yang menerima ialah majoriti ulama Usul al-Ahkam. Manakala golongan yang menolak adalah ulama Mazhab iaitu Imam Syafie dan Imam Malik. Selain itu, Isa bin Aban dan al-Baqllani turut menolak Ijmak Sukuti ini.


9.5.GOLONGAN YANG MENERIMA IJMAK SUKUTI
Antara hujah yang dikemukakan oleh golongan ulama Usul al-Ahkam dalam menerima Ijmak Sukuti ini ialah :
  • Sememangnya sudut dasarnya diam tidak dapat dikategorikan sebagai hujah melainkan setelah menelitinya. Sekiranya seseorang berdiam setelah berfikir dan meneliti segenap sudut, diamnya menunjukkan sikap positif. Selain itu, diam ketika diminta memberi keterangan dikira suatu keterangan.
  • Tidak semua mufti memberi keterangan dalam sesuatu masalah. Di mana umumnya apabila mufti besar berfatwa, ulama lain menerimnya.
  • Diam seseorang mujtahid setelah mengkaji terhadap hukum dan ijtihad orang lain jika bercanggah dengan hukum yang benar adalah haram. Justeru itu berdasarkan baik sangka mujtahid yang berdiam diri dikira redha.  Kiranya ia tetap berdiam sedangkan hukum yang dikeluarkan oleh mujtahid lain jelas salah satu dosa. Hal itu tidak mungkin berlaku terhadap ulama yang bergelar mujtahid.
Majoriti ulama Usul al-Ahkam menerima Ijmak Sukuti untuk dijadikan hujah hukum. Cuma mereka berselisih pendapat berkaitan sifat kehujahannya iaitu zanni atau qat’i. Antara ulasannya ialah :
  • Hujah zanni. Ulama yang menerima ijmak sukuti sebagai hujah zann’iyy, iaitu pendapat al-Kurkhi daripada mazhab Hanafi dan Iman Amidi daripada mazhab Shafi’iyy. Abd Latif et al.(1997: 95) menambah lagi penerangannya di dalam buku Pengantar usul fiqh iaitu alasan mereka ialah berdiam diri sebahagian daripada ahli mujtahid bukan semestinya kerana muafakat dengan pendapat yang telah dikeluarkan, bahkan diam diri itu mungkin kerana setuju dengan pendapat yang dikeluarkan atau gerun dengan kehebatan ulama yang telah mengeluarkan pendapatnya. Oleh itu, ijmak sukuti adalah hujah zann’iyy.
  • Hujah qat’i. Mazhab yang berpendapat ijmak sukuti adalah hujah qat’iyy ialah ulama Hanafi, Imam Ahmad dan sebahagian ulama Shafi’iyy.Alasan mereka ialah, dalil yang menunjukkan kehujahan ijmak tidak membezakan di antara ijmak sarih dan sukuti. Jika ditentukan dalil tersebut kepada ijmak yang sarih sahaja mungkin tidak berlaku ijmak, sedangkan ijmak telah berlaku. Abd Latif et al.(1997: 95).

 
9.6.GOLONGAN YANG MENOLAK IJMAK SUKUTI
Sebahagian ulamak laintidak menerima Ijmak Sukuti sebagai hujah serta tidak meletakkannya di bawah kategori Ijmak.ianya selaras dengan kaedah fiqh yang maksudnya, tidaklah dikatakan orang yang diam itu berkata. Antara golongan ulama yang menolak kehujahan Ijmak Sukuti ini ialah, Imam Syafie, Imam Malik, Isa bin Aban dan al-Baqillani. Antara hujah yang dikemukakan oleh ulama tersebut ialah :
  • Tidak boleh dikatakan atau membuat keputusan bahawa orang yang diam itu bersetuju. Kemungkinan mereka takut kemudharatan pada diri atau harta atau mereka berdiam diri mungkin untuk berijtihad. Lantaran itu, berdiam diri tidak boleh dikatakan tanda persetujuan.
  • Orang yang diam tidak boleh disahkan sebagai orang yang bersetuju. Justeru itu mujtahid yang diam itu tidak boleh dinilai ia mengikut pendapat mujtahid yang lain.
  • Diam itu tidak dikira sebagai tanda setuju. Kerana diam seorang mujtahid ada beberapa kemungkinan. Antaranya ialah, apabila mujtahid mendiamkan diri kemungkinan ia setuju atau belum berijtihad dalam masalah tersebut atau telah berijtihad namun belum memperolehi natijah yang mantap atau ia telah berijtihad dan memperolehi natijah namun bukan masa yang sesuai untuk mengemukakan ijtihadnya itu atau ia telah mempunyai keputusan hukum tetapi tidak mahu mengeluarkannya ekoran takut atau bimbang berlaku perselisihan dengan mujtahid lain ekoran berlainan dengan pendapatnya. Justeru itu, diam tidak boleh dikira sebagai hujah.


9.7.SYARAT IJMAK SUKUTI
Ijmak Sukuti yang diterima sebagai hujah berdasarkan syarat tertentu iaitu :
  • Hendaklah mempunyai masa yang cukup untuk ulama mujtahid berfikir dan mengkaji berkaitan sesuatu perkara yang diputuskan.
  • Tiada sebarang faktor untuk menakut-nakutkan mujtahid lain untuk mengeluarkan pendapat mereka.
  • Ulama yang berdiam diri itu bukan menolak semata-mata. Ianya membuktikan bahawa mereka bersetuju dan redha.
  • Hukum yang diijtihadkan hendaklah berkaitan hukum taklif yang boleh diijtihadkan.
  • Permasalahan atau persoalan yang timbul diketahui oleh semua mujtahid yang ada pada masa tersebut.
  • Hukum yang diijtihadkan belum ada ketetapan hukum sebelumnya.


10.0.JENIS-JENIS IJMAK YANG LAIN
Dalam beberapa kitab usul fiqh terdapat beberapa jenis ijmak yang dihubungkan dengan masa terjadi, tempat terjadi atau orang yang melaksanakannya. Ijmak-ijmak itu adalah:
  • Ijmak Sahabat - iaitu ijmak yang dilakukan oleh para sahabat Rasulullah.
  • Ijmak Khulafaurrasyidin - iaitu ijmak yang dilakukan oleh Khalifah Abu Bakar, Khalifah Umar, Khalifah Utsman dan Khalifah Ali bin Abi Thalib. Tentu saja hal ini hanya dapat dilakukan pada masa keempat orang itu hidup, iaitu pada masa Khalifah Abu Bakar. Setelah Abu Bakar meninggal dunia ijmak tersebut tidak dapat dilakukan lagi.
  • Ijmak Shaikhan - iaitu ijmak yang dilakukan oleh Khalifah Abu Bakar dan Khalifah Umar bin Khattab.
  • Ijmak ahli Madinah - iaitu ijmak yang dilakukan oleh ulama-ulama Madinah. Ijmak ahli Madinah merupakan salah satu sumber hukum Islam menurut Mazhab Maliki, tetapi Mazhab Syafie tidak mengakuinya sebagai salah satu sumber hukum Islam.
  • Ijmak ulama Kufah - iaitu ijma' yang dilakukan oleh ulama-ulama Kufah. Mazhab Hanafi menjadikan ijmak ulama Kufah sebagai salah satu sumber hukum Islam.


11.0.IKHTILAF ULAMA
Menurut golongan Hanafiyah, Ijmak Sorih dan Ijmak Sukuti adalah merupakan ijmak yang sebenar. Manakala berbeza pula dengan pendapat Imam Shafie yang mana hanya mengakui bahawa hanya Ijmak Sorih sahaja yang dikatakan ijmak sebenar.


12.0.SANDARAN IJMAK
Setiap ijmak yang dilakukan mestilah bersandarkan kepada satu sandaran. Ijmak tidak dipandang sah kecuali apabila ada sandaran sebab ijmak bukan dalil yang berdiri sendiri. Fatwa dalam hukum agama tanpa sandaran adalah salah. Sandaran terhadap ijmak adakalanya berupa dalil qat’i seperti al-Quran dan Hadis Mutawatir. Adakalanya juga bersandarkan kepada dalil yang zanni seperti Hadis Ahad dan Qiyas. Apabila ijmak yang dilakukan disandarkan kepada Hadis Ahad, maka hadis tersebut bertambah kekuatan dan nilainya. Tetapi jika disandarkan kepada Qiyas, berlaku ikhtilaf yang mana ada yang membenarkan dan ada yang menentang. Antara hujah yang membenarkan adalah seperti berikut :
  • Qiyas merupakan salah satu cara menetapkan hukum syarak. Maka qiyas boleh digunakan sandaran ijmak seperti dalil-dalil yang lain.
  • Sesetengah perkara yang perlu ditentukan hukum keatasnya adalah diqiyaskan atas sesuatu perkara yang menyamai. Contohnya pengharaman dadah diqiyaskan kepada arak. Hukum haram dadah itu adalah dilakukan daripada ijmak mujtahid yang disandarkan terhadap konsep qiyas.
Manakala hujah golongan yang menolak Qiyas disandarkan kepada Ijmak adalah seperti berikut :
  • Sekiranya Ijmak berdasarkan Qiyas, maka tentulah seorang mujtahid boleh membantah ijmak yang dilakukan. Ini kerana Qiyas adalah hukum yang boleh dibantah.membantah perkara asas yakni Qiyas bererti boleh membantah cabangnya iaitu Ijmak.
  • Para ulama tidak sependapat terhadap hukum yang menggunakan Qiyas. Keadaan demikian membezakan antara kedudukan Qiyas dan Ijmak. Ijmak merupakan satu penetapan hukum yang dipersetujui ramai.


13.0.PERKARA YANG BERLAKU IJMAK
Ijmak ini berlaku atas ijtihad-ijtihad yang sepakat atas semua peristiwa atau kejadian yang tidak ada dasarnya secara jelas dalam Al-Quran dan Hadis, peristiwa atau kejadian yang berhubungan dengan ibadat yang tidak langsung ditujukan kepada Allah S.W.T seperti sistem pendidikan, pemerintahan, politik, ekonomi, ketenteraan, kemasyarakatan atau semua hal-hal yang berhubungan dengan urusan duniawi tetapi tidak ada hukumnya dengan jelas dalam Al-Quran dan Hadis.


14.0.CONTOH-CONTOH IJMAK
Berikut merupakan beberapa contoh hukum yang ditetapkan ijmak antaranya ialah :
  • Berkenaan pewarisan datuk jika bersama anak. (Mustafa Ahmad 2000: 6) menjelaskan apabila seorang meninggal dunia dan ahli warisnya adalah terdiri dari datuk dan anak, maka datuk sebagaimana bapa mendapat 1/6 harta warisan apabila adanya anak.
  • (Mustafa Ahmad 2000: 6 ) menjelaskan iaitu ijmak menganggap sah transaksi istishna’ (pesanan). Jumhur fuqaha menetapkan dan memegang pendapat tersebut. Begitu juga ijmak amali (kebiasaan) telah menjalankan transaksi istishna’.
  • Ijmak sahabat tentang pemerintahan. Wajib hukumnya mengangkat seorang imam atau khalifah untuk menggantikan Rasulullah dalam mengurusi urusan Daulah Islamiah yang menyangkut urusan agama dan dunia yang disepakati oleh para Sahabat di Saqifah Bani Sai’idah.
  • Muhammad.et.al (2009: 10) dalam menerangkan ijmak mengenai kesahihan nikah yang dilakukan untuk memenuhi keperluan biologi seorang lelaki seperti mendapat keturunan, membina sebuah keluarga, berbaur menjadi sebahagian dari sebuah masyarakat adalah dengan mengatakan bahawa pernikahan yang disyariatkan sejak masa Nabi Adam a.s hingga berlangsung ke seluruh masa kenabian. Bahkan kaum muslimin telah sepakat akan keberlangsungan pernikahan hingga sampai ke syurga kelak. Selain itu, seluruh para ulama dari masa ke semasa telah bersepakat ke atas kesahihan pernikahan di dalam agama Islam.
  • Ijmak berkenaan kesahihan khuluk merupakan perbuatan yang disyariatkan oleh Islam dan boleh untuk dilakukan berdasarkan kesepakatan seluruh sahabat Rasulullah s.a.w ke atas bolehnya hukum melakukan khuluk dan tidak ada salah satu dari mereka yang menentangnya. Muhammad et.al (2009: 285) menyatakan lagi bahawa dengan demikian kesepakatan tersebut menjadi ijmak mereka atas hukum khuluk yang dibolehkan. Alasannya adalah kerana khuluk adalah perbuatan yang mencabut pernikahan dengan saling rela di antara kedua pasangan suami isteri. khuluk disyariatkan bertujuan untuk menghindari sejumlah masalah dan bahaya di antara kedua pasangan suami isteri dan diberlakukan tanpa menimbulkan masalah dan bahaya bagi mereka berdua. Kerana kewujudan khuluk tersebut dapat menghilangkan bahaya dari diri si wanita secara umum.


15.0.KEMUNGKINAN BERLAKU IJMAK
Ulama berselisih dan berbeza pendapat berkaitan dengan kemungkinan berlaku ijmak iaitu:
  1. Ijmak tidak mungkin berlaku. Sesetengah ulama berpendapat kiranya apa yang dimaksudkan dengan ijmak itu adalah kesepakatan para mujtahid dalam setiap masa mengenai suatu hukum syarak, ijmak tersebut tidak mungkin berlaku. Untuk itu, imam al-Shafi’i dan Qadi Abu Yusuf al-Hanafi lebih cenderung berpendapat bahawa kemungkinan ijmak itu tidak berlaku atau beliau menolak kemungkinan berlakunya ijmak. Namun begitu, imam al-Shafi’i bukanlah menolak kemungkinan berlakunya ijmak secara mutlak. Dimana bukti menunjukkan beliau tidak menolak secara mutlak kemungkinan berlakunya ijmak ialah di mana ijmak itu berlaku dan beliau menetapkan adanya ijmak itu dalam dasar-dasar hukum fardu. Cuma beliau cenderung sahaja dan membawa alasan , iaitu:
Ø  Kerana para mujtahid menetap dan berada di pelbagai negara serta di segenap pelusuk tempat yang mana tidak mungkin semua mereka itu dapat bertemu di suatu tempat. Oleh itu tidak mungkin berlaku persepakatan di antara mereka, ekoran antara negara, kota dan daerah itu jauh dan mereka tinggal berjauhan.
Ø  Ekoran ulama dan mujtahid berada di pelbagai tempat dan saling berjauhan menyebabkan mereka tidak dapat bertemu serentak serta sukar untuk, mengetahui pendapat setiap orang daripada mereka.
Ø  Sentiasa berlaku perbezaan pendapat di kalangan fuqaha’ yang tersebar di seluruh daerah negara Islam serta tidak ada persepakatan ulama tentang orang yang diterima ijmaknya.
Ø  Tidak ada persepakatan ulama tentang kriteria ulama yang berhak berfatwa dalam masalah-masalah Fiqh. Selain itun tiada suatu ketetapan dan landasan yang pasti untuk mengetahui siapakah yang layak digelar mujtahid.
Ø  Ijmak adakalanya bersandarkan dalil qat’i dan adakalanya berdasarkan dalil zanni. Sekiranya ia berdasarkan dalil qat’i  adatnya sudah tentu orang ramai tidak mengetahui tentang sesuatu masalah itu dan tidak perlu lagi kepada ijmak dan ia adalah sia-sia. Sebaliknya, kiranya ijmak itu berdasarkan dalil zanni, pada adat mustahil berlaku ijmak, kerana sememangnya tidak sama pendapat mujtahid dan tidak sama ilmu mereka.
2. Ijmak mungkin berlaku. Jumhur ulama berpendapat ijmak mungkin berlaku dan dapat berlaku. Hujah mereka ialah:
Ø  Ijmak secara jelasnya telah berlaku masa sahabat. Antaranya contoh ialah:
v  Ijmak sahabat memberikan 1/6 daripada harta pusaka kepada nenek, sama ada nenek itu seorang atau lebih seorang.
v  Ijmak sahabat menegah lelaki berpoligami dengan emak saudara isterinya, samada sebelah ayah atau ibu.
v  Ijmak sahabat di mana adik-beradik sebapa menduduki tempat saudara seibu  sebapa, jika saudara seibu sebapa tiada.
v  Ijmak sahabat terbatal perkahwinan antara wanita muslimah dengan lelaki bukan muslim.
Ø  Adapun berkaitan berjauhan antara fuqaha’ dan mujtahid tidak tentu sifat mujtahid, tidak tentu sifat ulama yang ijmaknya dapat diterima menghalang berlaku ijmak tidak membawa pengaruh terhadap ijmaknya para sahabat. Kerana sahabat juga tinggal berjauhan.
Ø  Ulama yang menolak kemungkinan ijmak dengan di dasarkan persepakatan terhadap dalil qat’i , kerana tidak mungkin terjadi ijmak pada dalil-dalil zanni. Alasan itu juga tidak dapat diterima kerana masalah yang disepakati oleh ulama pada masa sahabat ada yang bersumberkan dalil-dalil zanni, seperti hadis ahad. Namun begitu, mereka itu bersepakat  hadis ahad tersebut diterima sebagai dasar hukum ijmak, sehingga meningkatkan kedudukan dalil zanni kepada qat’i. Selanjutnya, jumhur juga menolak alasan yang mengatakan jika ijmak bersandarkan dalil qat’i adalah sia-sia dan tidak tepat. Kerana ijmak berdasarkan dalil qat’i berguna untuk mengukuhkan  hujah dan ia sememangnya berlaku. Contohnya : wajib menunaikan sembahyang berdasarkan dalil Al-Quran dan ijmak. Jumhur menolak pendapat mengatakan mustahil berlaku ijmak terhadap hukum yang berdasarkan  dalil zanni. Kerana hukum ijmak yang berdasarkan dalil zanni telah berlaku. Contohnya: ijmak ulama mengeluarkan hukum: nenek berhak memperolehi 1/6 daripada pusaka peninggalan cucunya. Hukum itu berdasarkan dalil hadis Ahad yang bersifat zanni.


16.0.KEMUNGKINAN BERLAKU IJMAK MASA KINI
Abd Latif et al.(1997: 100) menyatakan di dalam buku Pengantar usul fiqh, setelah dibuat penelitian dan kajian, dapat dibuat rumusan di sini bahawa ijmak pada masa kini tidak mungkin berlaku. Sebab dan alasannya seperti berikut :

  • Para ulama mujtahid tidak berada pada suatu tempat, malahan mereka tinggal berselerak dan berada di seluruh pelusuk dunia. Lantaran itu, sukar untuk memastikan dan untuk mendapatkan pendapat setiap daripada mereka terhadap sesuatu masalah. Selain itu, tidak mungkin ulama sepakat dalam mengeluarkan hukum sesuatu masalah.
  • Adalah menjadi kesukaran untuk mengenal pasti mujtahid dan yang bergelar mujtahid itu kerana setengah orang mengaku ia sebagai mujtahid, sedangkan sebenarnya ia belum mencapai tahap tersebut. Hal tersebut kerana ijmak itu ialah persepakatan para ulama mujtahid.

No comments: