JellyPages.com

"Hidup Memerlukan Seribu Pengorbanan"

"Hidup Memerlukan Seribu Pengorbanan"

Friday, June 3, 2011

AL-QIYAS

1.PENGERTIAN AL-QIYAS
Pengertian Al-Qiyas dapat diberikan kepada dua pengertian iaitu :
  • Pengertian Bahasa.
  • Pengertian Istilah.

1.1.PENGERTIAN BAHASA
Menurut bahasa,Al-Qiyas membawa maksud-maksud seperti berikut :
  • Ukuran.
  • Persamaan.
  • Persamaan dan ukuran di antara sesuatu tempat dengan tempat yang lain.
  • Tamsil.
  • Menyerupai atau mumasalah.


1.2.PENGERTIAN ISTILAH
Dari sudut istilah pula,Al-Qiyas membawa maksud berikut :
  • Menzahirkan persamaan sesuatu perkara yang tidak ada nas tentang hukumnya dengan satu perkara yang ada nas tentang hukumnya kerana kedua-duanya mempunyai persamaan pada illah atau sebab pada hukum.Contohnya ialah : Allah mengharamkan minum arak dengan dalil nas dan wajib dikenakan had keatas peminumnya.Para mujtahid mendapati illah dan sebab pengharamannya ialah  memabukkan.Maka diqiyaskan terhadapnya setiap yang memabukkan selain daripada arak,seperti todi,dadah,ganja dan wiskiu adalah haram.
  • Persamaan sebab dalam sesuatu perkara furu’ yang telah berlaku dengan perkara yang baru berlaku mengikut persamaan illah hukum tersebut.Contohnya : Pengharaman tuak berdasarkan illah ianya memabukkan seperti arak.
  • Perbandingan diantara satu hukum dalam perkara yang baharu lahir dengan perkara yang telah ada hukumnya sebelumnya didalam Al-Quran dan Al-Sunnah.
  • Menyamakan masalah yang tidak dijelaskan hukumnya didalam Al-Quran dan Hadis atau Ijmak dengan masalah yang telah dijelaskan hukumnya didalam salah satu daripada dalil tersebut berdasarkan antara keduanya ada persamaan pada illah hukum.


2.RUKUN AL-QIYAS
Berdasarkan pengertian yang diberikan,Al-Qiyas yang dikehendaki dan diterima menurut syarak ialah dengan mengandungi empat rukun berikut :
  • Asal,iaitu sumber hukum asal yang telah ditetapkan dalam Al-Quran dan hadis atau ijmak.Asal juga adalah tempat keluar hukum dengan dalil yang qat’i.Contohnya : Arak sabit hukumnya berdasarkan Al-Quran.
  • Hukum Asal,iaitu hukum asal yang ditetapkan atau dijelaskan dalam Al-Quran,hadis dan ijmak.Hukum asal juga ialah hukum syarak yang terbit melalui dalil yang hendak diqiyas.Contohnya : Hukum haram arak.
  • Cabang atau furu’.Ianya masalah dimana hukumnya tidak dinyatakan dalam Al-Quran,hadis dan ijmak.Contohnya : Todi,dadah dan wisky.
  • Illah.Iaitu sifat yang berupa sebab yang menyebabkan lahir hukum asal yang sama dengan hukum furu’ atau baru.Contohnya : Sifat mabuk pada arak dan dadah atau todi dan wisky.


2.1.ASAL
2.1.1.PENGERTIAN
Asal atau al-Asl dapat dijelaskan sebagaimana berikut,antaranya :
  • Iaitu sumber hukum berbentuk nas-nas yang telah ditetapkan dalam Al-Quran dan Hadis atau Ijmak yang menjelaskan tentang hukum atau tempat menqiyaskan juga dikenali dengan al-muqis ‘alaih.
  • Tempat terbentuk hukum dengan dalil qat’i.Contohnya : Sabit haram minum arak berdasarkan nas Al-Quran.Justeru itu,tidak boleh menqiyaskan sesuatu terhadap hukum yang telah ditetapkan melalui Al-Qiyas.

2.1.2.SYARAT ASAL
Syarat yang perlu ada pada asal serta pada hukum yang akan ditetapkan ialah : Asal tersebut tidak menjadi furu’ atau pecahan kepada asal lain.Oleh itu,kiranya ia menjadi furu’ yang lain,qiyas kepada yang kedua itu adalah perkara yang sia-sia.Contohnya : Menqiyaskan jagung terhadap beras dengan illah sama-sama makanan atau sukatan ada illah berlaku riba. Kemudian menqiyaskan beras terhadap gandum yang hukumnya terkandung dalam nas hadis yang juga merupakan asal.Qiyas yang dilakukan melalui kaedah itu tidak sah,kerana sepatutnya diqiyaskan jagung terhadap gandum terlebih dahulu bukannya jagung terhadap beras.


2.2.HUKUM ASAL
2.2.1.PENGERTIAN
Hukum asal ialah :
  • Hukum yang dipergunakan qiyas untuk memperluaskan hukum daripada asal kepada furu’
  • Hukum asal yang ditetapkan atau dijelaskan didalam Al-Quran ,As-Sunnah dan Ijmak juga hukum syarak yang terbentuk melalui dalil yang hendak diqiyaskan,contohnya : Hukum haram arak.


2.2.2.SYARAT HUKUM ASAL
Hukum asal itu dapat dipindahkan kepada furu’ mestilah pula dengan memenuhi syarat berikut :
  • Hukum asal itu merupakan hukum syarak berbentuk amaliah yang telah sabit atau ditetapkan oleh nas.
  • Hukum asal hendaklah hukum yang mana illahnya dapat difahami oleh akal.Kiranya tidak dapat mengetahui illah hukum asal,maka Al-Qiyas tidak boleh dilakukan.Justeru itulah Al-Qiyas tidak boleh dilakukan terhadap hukum Ta’abbudiah,seperti : Menentukan bilangan-bilangan rakaat sembahyang.
  • Hukum asal itu bukan sesuatu hukum yang berlaku khusus yang telah sabit mengikut nas.Justeru itu,sekiranya terdapat dalil yang menunjukkan pengkhususan hukum dengan asal melalui nas,maka Al-Qiyas tidak boleh dilakukan,kerana ia menyalahi dalil syarak.Antara contoh hukum yang dikatakan berlaku khusus ialah terdapat dalil yang menunjukkan sesuatu hukum itu hanya berlaku untuk asal sahaja.Seperti : Kahwin lebih daripada empat isteri dalam satu masa adalah khusus untuk Nabi sahaja.
  • Hukum asal mempunyi illah yang mungkin terlaksana atau mungkin ada pada furu’.
  • Hukum asal tidak dimansuhkan atau tidak dibatalkan.Hal tersebut kerana illah hukum akan terbatal dengan sendiri apabila sesuatu hukum itu dibatalkan.


2.3.FURU’ ATAU CABANG
2.3.1.PENGERTIAN
Apa yang dimaksudkan dengan furu’ atau pecahan ialah :
  • Sesuatu yang tidak ada ketentuan nas atau perkara diqiyaskan yang juga dikenali dengan al-muqis.
  • Iaitu masalah di mana hukumnya tidak dinyatakan atau tidak ditegaskan di dalam Al-Quran,Al-Sunnah dan Ijmak.

2.3.2.SYARAT FURU’ ATAU CABANG
Untuk membolehkan sesuatu furu’ dipindahkan hukum asal kepadanya dengan mempunyai syarat tertentu iaitu :
  • Pada furu’ terdapat illah yang ada pada asal.Antara lain, furu’ adalah sama dengan asal dari segi illah hukumnya.
  • Hukum furu’ itu tidak boleh mendahului hukum asal dari segi sabitnya.Contohnya : Tidak sah qiyas wudhuk terhadap tayamum dari segi wajib niat dengan illah kedua-duanya merupakan bersuci atau ibadat.Hal tersebut kerana wudhuk lebih dahulu disyariatkan daripada tayamum.Oleh itu qiyas wudhuk kepada tayamum dalam soal wajib berniat adalah batal.
  • Hukum yang dipindahkan kepada furu’ hendaklah sama dengan hukum asal atau pun sama furu’ dengan usul.Justeru itu,sebagai contohnya : Tidak sah qiyas wudhuk terhadap tayamum atas dasar illah kedua-duanya menyucikan.Hal tersebut kerana wudhuk dan tayamum sememangnya tidak sama dari sudut membersihkan.Wudhuk menggunakan air dan dapat menghilangkan kotoran,sedangkan tayamum menggunakan debu tanah dan tidak dapat membersihkan kotoran.
  • Pada furu’ tidak terdapat nas atau ijmak yang menunjukkan sesuatu hukum yang berlawanan dengan Al-Qiyas.Antara contoh Al-Qiyas yang bertentangan dengan ijmak,seperti : Orang musafir harus meninggalkan puasa berdasarkan firman Allah dalam surah al-Baqarah ayat 185 mafhumnya: 
185. (Masa Yang Diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) bulan Ramadan Yang padanya diturunkan Al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan Yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara Yang benar Dengan Yang salah. oleh itu, sesiapa dari antara kamu Yang menyaksikan anak bulan Ramadan (atau mengetahuinya), maka hendaklah ia berpuasa bulan itu; dan sesiapa Yang sakit atau Dalam musafir maka (bolehlah ia berbuka, kemudian wajiblah ia berpuasa) sebanyak hari Yang ditinggalkan itu pada hari-hari Yang lain. (dengan ketetapan Yang demikian itu) Allah menghendaki kamu beroleh kemudahan, dan ia tidak menghendaki kamu menanggung kesukaran. dan juga supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadan), dan supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat petunjukNya, dan supaya kamu bersyukur.
Maka jika dikatakan orang musafir tidak wajib menunaikan sembahyang kerana diqiyaskan dengan puasa adalah batal.Kerana ia menyalahi ijmak yang mana sembahyang tidak boleh ditinggalkan sebab musafir,bahkan wajib ditunaikan dalam apa jua keadaan.


2.4.ILLAH ATAU SEBAB
2.4.1.PENGERTIAN
Illah merupakan rukun utama atau paling penting daripada rukun Qiyas yang membawa maksud sebagaimana berikut :
  • Sifat atau keadaan zahir nyata serta tepat yang dapat mengetahui hukum syarak.
  • Iaitu alasan serupa antara asal dan furu’ atau juga sifat yang berupa sebab yang menyebabkan lahir hukum asal yang sama dengan hukum furu’ atau hukum baru.
  • Setengah ulamak menjelaskan illah ialah suatu sifat lahir sebagai dasar yang menetapkan hukum serta sesuai dengan hukum.

2.4.2.SYARAT ILLAH ATAU SEBAB
Illah hendaklah memenuhi syarat berikut :
  • Illah hendaklah merupakan suatu keadaan atau sifat zahir.Iaitu dapat difahami oleh pancaindera,kerana ia merupakan tanda hukum.Lantaran itu,tidak sah dijadikan redha-meredhai antara penjual dan pembeli sebagai illah pertukaran milik barangan.Hal tersebut,kerana meredhai itu berkaitan dengan hati dan tidak dapat difahami oleh pancaindera.Apa yang boleh dijadikan illah untuk menunjukkan tabda redha ialah ijab dan qabul.
  • Illah hendaklah merupakan suatu sifat atau keadaan yang pasti dan tetap dalam semua keadaan dan orang.Iaitu tidak berlainan dengan sebab berlainan orang dan keadaan. Lantaran itu,tidak sah dijadikan kesukaran sebagai illah diharuskan berbuka puasa bagi musafir dan orang yang sakit.Hal tersebut kerana kesukaran itu merupakan antara perkara yang jelas berlainan dengan sebab berlainan orang dan keadaan.Apa yang boleh dijadikan illah disitu ialah musafir dan orang yang sakit.Kerana ianya merupakan sifat yang jelas dan tetap.
  • Illah itu hendaklah suatu sifat dan keadaan yang sesuai dan munasabah dengan hukum.Iaitu sifat yang mana pensyariatan hukum untuk member faedah dan mencegah bahaya terhadap manusia.Contohnya : Mabuk dalam nisbah pengharaman arak.
  • Illah itu bukan merupakan suatu sifat atau keadaan yang hanya wujud pada asal sahaja,bahkan ia harus terdapat pada selain asal.


3.SYARAT AL-QIYAS
  • Hukum asal.
  • Furu’ atau cabang.
  • Illah atau sebab.

4.PEMBAHAGIAN AL-QIYAS
Ditinjau dari sudut illah pada hukum furu’ dan asal,al-Qiyas terbahagi kepada dua iaitu:
  • Al-Qiyas al-Khafiy.
  • Al-Qiyas al-Jaliy.


4.1.AL-QIYAS AL-KHAFIY
Al-Qiyas al-Khafiy ialah al-Qiyas yang tidak diyakini tentang perbezaan diantara illah pada hukum furu’ dan asal serta tidak pasti sama ada ia memberi kesan pada hukum atau sebaliknya.Al-Qiyas jenis ini lebih dikenali sebagai istihsan.Contohnya : Wanita berhaid diharuskan membaca al-Quran berdasarkan al-Qiyas al-Khafiy atau istihsan dan diharamkan berdasarkan al-Qiyas al-Jaliy.Wanita berhaid diharuskan membaca al-Quran berdasarkan    al-Qiyas al-Khafiy kerana ia berbeza dengan orang yang bernujub di segi waktunya.Waktu berjunub tidak lama,sedankan haid lama,sekiranya sepanjang masa haid mereka tidak dapat membaca al-Quran,bererti mereka tidak mendapat pahala dalam ibadat membaca al-Quran ketika berhaid,sedangkan lelaki dapat membacanya sepanjang masa.


4.2.AL-QIYAS AL-JALIY
Al-Qiyas al-Jaliy ialah al-Qiyas yang jelas dan diyakini perbezaan diant ara illah pada hukum cabang atau furu’ dan asal serta pasti ia memberi kesan pada hukum atau sebaliknya.Contohnya : Wanita berhaid haram membaca al-Quran berdasarkan al-Qiyas al-Jaliy.Iaitu,diqiyaskan kepada orang yang berjunub di segi illah sama-sama tidak suci.Dimana orang yang berjunub dan berhaid sama-sama diharamkan membaca al-Quran.



5.JENIS AL-QIYAS DARI SUDUT FURU’
5.1.QIYAS AL-AWLA
Ia dikenali juga dengan Qiyas Aulawi.Iaitu yang mana illah pada hukum furu’ lebih kuat daripada illah hukum asal.Antara lain ia membawa erti illah pada yang diqiyaskan itu lebih kuat daripada illah yang ada pada tempat mengqiyaskan.Contohnya : Haram memukul ibu bapa diqiyaskan kepada haram mengherdik mereka.Yang mana ia ditegah didalam Al-Quran.Sebagaiman firman Allah SWT yang mafhumnya :
Maka janganlah engkau berkata kepada mereka(sebarang perkataan kasar)sekalipun oh,dan janganlah engkau menengking menyergah mereka.
Di mana illahnya ialah menyakiti,sedangkan berkata kasar dan mengherdik keduanya atau salah seorang keduanya dikira menyakiti mereka,apatah lagi memukul mereka,adalah haram hukumnya.
Sebagai rumusannya,Qiyas Aulawi ialah tujuan yang menjadi penetapan illah hukum terwujud dalam masalah furu’ lebih kukuh daripada illah hukum dalam hukum asal.



5.2.QIYAS AL-MUSAWI
Iaitu qiyas yang mana sama hukumnya diantara asal dengan furu’ berdasarkan illah yang sama.Antara lain juga Qiyas Musawi ialah furu’ didalam al-Qiyas adalah sama dengan asal dari segi hukum.Iaitu bersamaan illahnya,lantaran itu bersamaan pula hukumnya.Contohnya : Membakar harta anak yatim adalah haram hukumnya,ia diqiyaskan terhadap memakan harta mereka yang secara jelas ditegah didalam Al-Quran.Sebagaimana firman Allah yang mafhumnya : 
10. Sesungguhnya orang-orang Yang memakan harta anak-anak yatim secara zalim, sebenarnya mereka itu hanyalah menelan api ke Dalam perut mereka; dan mereka pula akan masuk ke Dalam api neraka Yang menyala-nyala.
Hal itu adalah disebabkan bersamaan illah keduanya.Iaitu sama-sama menghilangkan atau memusnahkan harta anak yatim dengan tidak mengikut cara yang diizinkan oleh syarak.


5.3.QIYAS AL-DILALAH
Iaitu al-Qiyas yang menghimpun diantara hukum asal dengan furu’ berdasarkan sifat yang tetap bagi illah.Contohnya : Perahan anggur adalah haram hukumnya,diqiyaskan dengan arak.Dimana illah kedua-duanya ialah terdapat bau yang kuat yang dikira sebati dengan bahan yang memabukkan.Contoh lain : Qiyas harta kanak-kanak kepada harta orang baligh dalam perkara wajib zakat dengan illah sama-sama bertambah dan berkembang.


5.4.QIYAS AL-SYIBH
Iaitu al-Qiyas yang hukum furu’nya boleh diqiyaskan kapada dua yang asal yang mana ia dihubungkan dengan asal yang lebih banyak persamaan dengannya.Contohnya : Pembunuhan tidak sengaja terhadap hamba yang dimiliki oleh orang lain.Hamba tersebut boleh diqiyaskan dengan manusia biasa mengikut asal kejadiannya dan hamba juga boleh disamakan dengan kuda yang dimiliki oleh tuannya diqiyaskan kepada harta yang dimiliki oleh tuannya.


5.5.QIYAS AL-ADNA
Ia dikenali juga dengan Qiyas Adwan.Iaitu al-Qiyas yang berdasarkan illah yang nilai illah lebih rendah daripada illah yang terdapat pada hukum asal.Antara lainnnya Qiyas al-Adna ialah furu’ adalah kurang jelas dan lebih lemah daripada asal dari segi illah hukum.Contohnya : Haram menjual buah epal dengan epal dibandingkan gandum dengan gandum,dimana illah buah epal lebih rendah daripada gandum yang menjadi makanan asasi.


6.KEDUDUKAN AL-QIYAS
Para ulamak tidaksependapat tentang kedudukan Qiyas sebagai salah satu dalil syarak atau sumber hukum Islam.Perselisihan ini dibahagikan kepada dua pendapat iaitu :
  • a)      Mazhab Al-Nizamiah,Zahiriah dan sebahagian daripada aliran-aliran Syiah berpendapat bahawa qiyas bukanlah termasuk dalil syarak bagi mengharamkan atau menghalalkan sesuatu.
  • b)      Jumhur ulamak berpendirian bahawa qiyas dikira hujah syariah dan sumber hukum yang produktif untuk menghadapi masalah-masalah baru yang timbul ditengah-tengah masyarakat Muslimin dari zaman ke zaman.



7.KEHUJAHAN AL-QIYAS
Jumhur ulamak sepakat mengatakan al-Qiyas  boleh dijadikan hujah dan sebagai sumber hukum syarak.Manakala golongan Nizamiah,Zahiriah dan segolongan puak Syiah berpendapat al-Qiyas tidak boleh dijadikan hujah.Hujah mereka seperti berikut :
  • Hujah Golongan Menolak.
  • Hujah Jumhur Ulamak.

7.1.HUJAH GOLONGAN MENOLAK
Antara alasan dan hujah golongan yang menolak al-Qiyas ialah :
·         Al-Quran menegah dan melarang kita daripada mengikuti zann.Sebagaimana firman Allah dalam surah al-Isra’ ayat 36 mafhumnya :
36. Dan janganlah Engkau mengikut apa Yang Engkau tidak mempunyai pengetahuan mengenainya; Sesungguhnya pendengaran dan penglihatan serta hati, semua anggota-anggota itu tetap akan ditanya tentang apa Yang dilakukannya.
  • Golongan yang menolak al-Qiyas mengatakan al-Qiyas adalah perkara zann.Hal tersebut disebabkan ia berasaskan kepada zann,dimana illah atau sebab kerananya disyariatkan hukum didalam nas yang dijelaskan.Justeru itu al-Qiyas ditegah supaya diikuti dan ia tidak dapat mensabitkan hukum.
·         Al-Qiyas dan penggunaannya boleh membuka ruang kearah perselisihan dan pertelingkahan diantara umat.Hal tersebut kerana al-Qiyas berasaskan kepada zanni.Sedangkan Islam tidak suka pada perselisihan.


8.HUJAH JUMHUR TERHADAP GOLONGAN MENOLAK AL-QIYAS
Jumhur ulamak mematahkan hujah golongan yang menolak hujah al-Qiyas dengan membawa dalil al-Quran yang mana nas al-Quran menegah kita mengikuti perkara zann.Sebenarnya kita ditegah mengikuti perkara zann yang berkaitan dengan perkara akidah sahaja.Adapun perkara yang berbentuk amali sudah disepakati oleh jumhur ulamak boleh diikuti dan beramal dengannya.Contohnya : Beramal dengan hadis Ahad adalah bertaraf zanni,bukan qat’i. Antara lain lagi,jumhur menolak hujah golongan yang menolak hujah al-Qiyas dengan membawa alasan penggunaan al-Qiyas boleh membuka ruang perselisihan dan persengketaan.Sebenarnya perselisihan dan persengketaan yang tidak disukai atau yang dimaksudkan oleh agama ialah perselisihan mengenai perkara akidah dan politik,bukannya perkara yang berkaitan dengan hukum syarak yang berbentuk amali. Kesimpulannya, pendapat jumhur tersebut merupakan pendapat yang lebih tepat.Lantaran itulah mengikut pendapat jumhur ulamak,al-Qiyas hanya menjadi hujah dalam hukum-hukum agama yang bersifat amaliah.Ia merupakan sumber keempat dalam system perundangan Islam,kerana ia berdasarkan nas walaupun tidak secara langsung.Walaupun jumhur ulamak menerima kehujahan al-Qiyas,namun sesiapa yang menolaknya tidak dikira kufur.


9.QIYAS SEBAGAI HUJAH SYARAK
Jumhur ulamak berpendapat bahawa Qiyas adalah salah satu dasar perundangan Islam.Ia merupakan sumber syariat yang mesti diamalkan.Hanya sedikit sahaja dari kalangan ulamak yang menolaknya,iaitu seperti golongan Zahiriyah dan sebahagiannya daripada Syi’ah.Mereka berpendapat bahawa hukum hakam syarak tidak boleh dibina atasnya.Perselisihan pendapat seumpama ini tidak boleh diikuti kerana ia berlaku selepas ijmak sahabat yang mengatakan bahawa Qiyas adalah salah satu daripada hujah syarak.


10.PERSOALAN SEMASA BERKAITAN AL-QIYAS
Antara persoalan semasa berkaitan dengan al-Qiyas yang dibincangkan adalah dadah serta semua kategorinya yakni ganja,heroin,pil khayal,menghidu gam,ubat batuk,tuak masam dan benda-benda lain yang mengkhayalkan serta memabukkan.Iaitu  sama ada pengambilannya melalui cara minum,suntikan,hisap atau sedut,telan juga hidu. Faktor atau konsep pengharaman khamar atau arak,sama ada yang diperah daripada buah anggur atau tamar,atau barli,atau gandum dan lainnya adalah berdasarkan nas al-Quran.Pengharamannya adalah atas dasar atau illah ia memabukkan atau menghilangkan kewarasan akal.Justeru itu,apabila ditinjau dalam konteks semasa,terdapat pelbagai jenis serta bentuk minuman dan makanan yang boleh memabukkan dan mengkhayalkan. Penjelasan serta ketetapan hukum yang terdapat melalui nas adalah arak sahaja.Yang mana hukuman hudud terhadap sesiapa yang sabit kesalahan ialah dikenakan 40 kali sebatan atas dasar ia adalah minuman yang memabukkan dan syaratnya dengan cara meminum.Manakala dalam konteks semasa terdapat perbezaan dari sudut cara pengambilannya berbanding arak atau khamar atau nabiz.Iaitu benda-benda yang mengkhayalkan dan menghilangkan kewarasan akaltersebut setengah diambil melalui suntikan,seperti : Menyuntik dadah pada bahagian anggota tertentu.Sesetengah pula diambil dengan cara menelan seperti : Pil-pil khayal.Sesetengah juga diambil melalui cara menghidu seperti : Menghidu gam dan petrol.Ada juga yang disalah gunakan melalui cara menyedut seperti : Menghisap dadah,morfin,heroin dan ganja. Justeru itu,untuk menetapkan hukum serta menangani masalah yang kian merebak serta merbahaya dalam konteks kini,ulamak mujtahid memain peranan utama dengan cara menggunakan dalil al-Qiyas bagi mengistinbat hukum.Iaitu dengan membuat penelitian berdasarkan persamaan dari sudut illah atau sifat dan sebab.Hasilijtihad ulamak,mereka menetapkan bahawa semua benda yang diambil atas dasar memabukkan dan menghilangkan kewarasan akal tanpa mengira cara pengambilannya,baik hidu,telan,suntik atau sedut adalah haram hukumnya. Walau bagaimanapun,hukuman yang dikenakan terhadap mereka yang mengambil atau menyalahgunakan benda-benda yang memabukkan dan mengkhayalkan itu yang mana cara pengambilannya bukan cara minum dikenakan hukuman ta’zir berdasarkan penilaian hakim,bukannya hukuman hudud.

No comments: