JellyPages.com

"Hidup Memerlukan Seribu Pengorbanan"

"Hidup Memerlukan Seribu Pengorbanan"

Tuesday, May 10, 2011

PLURALISME DAN PENDIRIAN ISLAM

Oleh Dr. Danial bin Zainal Abidin

Konsep pluralisme ialah konsep kesamaan dalam kepelbagaian agama. Konsep ini menekankan bahawa semua agama adalah sama dan menuju kepada kemuncak kebenaran yang sama. Bagi penganut-penganut aliran ini, agama-agama besar di dunia seperti Islam, Kristian, Yahudi, Buddha, Hindu dan yang seumpamanya, mempunyai dua struktur utama, iaitu, eksoterik (aspek luaran / zahir) dan esoterik (aspek dalaman / batin). Agama-agama ini, menurut mereka, hanya berbeza pada aspek luaran atau zahirnya sahaja, sedangkan pada aspek dalamannya ia adalah sama, iaitu menuju pada tuhan yang satu.

Sebagai contoh, sekiranya umat Islam menunaikan ibadat dengan cara bersolat di masjid, penganut agama Buddha beribadat dengan membaca mantera-manteranya di kuil, dan penganut-penganut Kristian pula hadir dan bertafakur di gereja pada setiap hari Ahad, dan begitulah seterusnya. Justeru, menurut mereka, kesemua bentuk ibadat itu adalah benar dan diiktiraf kerana kesemuanya menuju kepada satu ‘kebenaran yang hakiki’, iaitu Tuhan. Bagi umat Islam Tuhannya ialah Allah, manakala bagi penganut Kristian Dia adalah Jesus, dan begitulah seterusnya.

Antara tokoh yang mempopularkan isme ini ialah Ernst Troeltsch (1865-1923), Arnold Toynbee (1889-1975), Wilfred Cantwell Smith (1916-2000) dan John Harwood Hick (1922-sekarang). Pengaruh isme ini begitu kuat sehinggakan segelintir umat Islam sudah mengimani konsep ini pada hari ini. Sebagai contoh, seorang tokoh Islam Liberal di Indonesia yang bernama Ulil Absar Abdalla, tanpa segan silu lagi menyatakan bahawa “Semua agama sama. Semuanya menuju jalan kebenaran. Jadi, Islam bukan yang paling benar.” Hal ini dilaporkan dalam majalah Gatra, 21 Disember 2002.


Islam menghormati semua agama tetapi ia tidak bersetuju dengan aliran yang mengatakan bahawa semua agama adalah sama. Sebagai contoh, pada 29hb Julai 2005, Majlis Ulama Indonesia (MUI) mengeluarkan fatwanya yang memutuskan bahawa aliran pluralisme adalah bertentangan dengan Islam. Fatwanya berbunyi, “Pluralisme agama adalah suatu faham yang mengajarkan bahawa semua agama adalah sama dan kerananya kebenaran setiap agama adalah relatif. Oleh sebab itu, setiap pemeluk agama tidak boleh (mendakwa) bahawa hanya agamanya saja yang benar sedangkan agama yang lain salah…… Pluralisme…. sebagaimana dimaksudkan pada bahagian pertama adalah (kefahaman) yang bertentangan dengan ajaran agama Islam.”

Apakah Alasannya Islam Menolak Pluralisme?

Secara logiknya, jika kesemua agama adalah sama mengapakah nabi Muhammad perlu diutus untuk mengeluarkan manusia daripada kegelapan kepada cahaya? Mengapakah nabi perlu menentang penyembahan berhala yang dilakukan oleh golongan Arab ketika itu sehingga mendatangkan kesusahan ke atas diri sendiri? Mengapakah pendeta Yahudi yang bernama Abdullah bin Salam memeluk Islam di zaman nabi dan hal ini diterima nabi dengan penuh kesyukuran? Mengapakah nabi mengutus surat kepada pemimpin pelbagai negara untuk mengajak mereka kepada Islam?

Hal ini disebabkan ajaran Islam yang dibawa nabi Muhammad tidak sama dengan ajaran yang terdapat dalam agama yang lain. Konsep ketuhanan Islam tidak sama dengan konsep triniti Kristian, tidak sama dengan konsep trimurti Hindu dan yang seumpamanya.

Jika konsep ketuhanan Islam sama dengan konsep triniti Kristian, mengapakah Allah berfirman dalam surah al-Maidah ayat 72-73 yang bermaksud, “Demi sesungguhnya, telah kafirlah orang-orang yang berkata: ‘Bahawasanya Allah ialah al-Masih anak Maryam’. Padahal al-Masih sendiri berkata: ‘Wahai Bani Israel, sembahlah Allah, Tuhanku dan Tuhan kamu. Bahawasanya sesiapa yang mempersekutukan Allah dengan sesuatu yang lain, maka sesungguhnya Allah haramkan baginya syurga, dan tempat kembalinya ialah neraka; dan tiadalah seorang penolong pun bagi orang-orang yang zalim’. Demi sesungguhnya telah kafirlah orang-orang yang berkata: ‘Bahawasanya Allah ialah salah satu dari tiga tuhan’. Padahal tiada Tuhan melainkan Tuhan yang Maha Esa. Dan jika mereka tidak berhenti dari apa yang mereka katakan itu, sudah tentu orang-orang yang kafir dari kalangan mereka akan dikenakan azab seksa yang tidak terperi sakitnya”?

Demikian juga, jika benar umat Islam disuruh bertolak ansur dengan sembahan-sembahan yang dianggap sebagai jelmaan daripada Tuhan yang esa, mengapakah dalam surah an-Najm ayat 23 Allah berfirman, “Benda-benda yang kamu sembah itu tidak lain hanyalah nama-nama yang kamu dan datuk nenek kamu menamakannya. Allah sekali-kali tidak menurunkan sebarang bukti yang membenarkannya. Mereka yang berbuat demikian, tidak menurut melainkan sangkaan-sangkaan dan mengikut apa yang diingini oleh hawa nafsunya. Padahal demi sesungguhnya telah datang kepada mereka petunjuk dari Tuhan mereka.”?

Hal yang sama ditegaskan dalam surah az-Zumar ayat 65-66 yang bermaksud, “Dan sesungguhnya telah diwahyukan kepadamu (wahai Muhammad) dan kepada nabi-nabi sebelummu bahawa: ‘Demi sesungguhnya, jika engkau (dan pengikut-pengikutmu) mempersekutukan (sesuatu yang lain dengan Allah) tentulah akan gugur amalanmu, dan engkau akan menjadi dari orang-orang yang rugi.’ (Janganlah menyembah yang lain daripada Allah) bahkan hendaklah engkau menyembah Allah semata-mata, dan hendaklah engkau menjadi dari orang-orang yang bersyukur”.

Golongan pluralis sering kali mengatakan bahawa pelbagai sembahan yang disembah oleh manusia mengikut agama masing-masing tidak sepatutnya menimbulkan masalah kerana tujuannya tetap sama, iaitu, untuk mendekatkan diri kepada Tuhan Yang Maha Esa. Islam tidak bersetuju dengan mereka malah dalam surah az-Zumar ayat 3-4 Allah menggelar mereka sebagai golongan musyrik yang sesat dan bukannya sebagai golongan Muslim atau Mukmin yang dimuliakan. Allah berfirman, “Dan orang-orang musyrik yang mengambil pelindung selain daripada Allah berkata: ‘Kami tidak menyembah mereka melainkan supaya mereka mendekatkan kami kepada Allah dengan sedekat-dekatnya’. Sesungguhnya Allah akan memutuskan di antara mereka tentang apa yang mereka berselisih padanya. Sesungguhnya Allah tidak memberi hidayah kepada orang-orang yang pendusta dan sangat ingkar. Kalaulah Allah hendak mempunyai anak, tentulah Dia memilih mana-mana yang dikehendakinya di antara ciptaan-ciptaannya. Maha Sucilah Dia (dari menghendaki yang demikian) itu. Dia lah Allah, Yang Maha Esa lagi Maha Mengalahkan.”

Sebagai kesimpulannya, agama Islam menyuruh umatnya menghormati agama-agama lain. Malah umat Islam dilarang mencaci tuhan-tuhan yang disembah oleh orang lain. Namun, ia tidak bermaksud bahawa umat Islam meredai dan bersetuju dengan ajaran yang terdapat dalam agama-agama itu. Justeru, dalam surah al-Kafiruun ayat 1-6 Allah menegaskan, “Katakanlah (wahai Muhammad): ‘Hai orang-orang kafir. Aku tidak akan menyembah apa yang kamu sembah. Dan kamu bukan penyembah Tuhan yang aku sembah. Dan aku tidak pernah menjadi penyembah apa yang kamu sembah, dan kamu tidak pernah (pula) menjadi penyembah Tuhan yang aku sembah. Maka untukmu agamamu, dan untukku agamaku’.” Inilah pendirian umat Islam.

Adakah Ini Bermakna Islam Tidak Boleh Bertoleransi?

Tidak bersetuju dengan sesuatu tidak bermaksud tidak boleh bertoleransi dengan sesuatu. Sebenarnya seorang Muslim tidak menjadi Muslim yang sebenarnya jika dia tidak bertoleransi dengan penganut agama lain. Hal ini disebabkan bertoleransi dan bersikap adil dengan mereka yang bukan Islam diwajibkan oleh agama Islam. Hal ini ditegaskan Allah dalam surah al-Maidah ayat 8 yang bermaksud, “Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang-orang yang menegakkan keadilan kerana Allah, menjadi saksi dengan adil. Dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana bersikap adil itu lebih hampir kepada takwa. Dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang kamu lakukan.”

Dalam surah al-Mumtahanah ayat 8 pula Allah menyuruh umat Islam agar hidup secara baik dengan golongan bukan Islam yang tidak memerangi mereka. Allah berfirman, “Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan berlaku adil kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana agama (kamu), dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu; sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil.”

Sejarah membuktikan hakikat ini. Sebagai contoh, profesor T. W. Arnold dalam bukunya ’The Preaching of Islam (Low Price Publications, New Edition, India, 2002) melaporkan, “Apabila tentera-tentera Islam tiba di lembah Jordan dan panglima Abu Ubaidah mengarahkan agar khemah-khemah dipasang di Fhil, penduduk-penduduk Kristian di negeri itu telah menulis surat kepada golongan Arab Muslim ini dengan berkata, ‘Wahai orang-orang Islam, kami lebih suka jika kamu yang memerintah kami daripada pihak Rom walaupun mereka seagama dengan kami. Mereka telah merompak harta kami dan memusnahkan tempat tinggal kami’.” Hal ini disebabkan golongan Islam memang dikenali ketika itu sebagai satu golongan yang adil dan saksama termasuk terhadap golongan yang bukan Islam.

Tokoh-tokoh Islam amat mementingkan toleransi dengan golongan bukan Islam. Sejarah meriwayatkan bahawa beberapa perjanjian pernah dibuat oleh khalifah Omar al-Khattab dengan golongan bukan Islam berhubung hak-hak mereka. Antaranya, seperti yang disebutkan dalam kitab Tarikh at-Tabari (Dar al-Maarif, jilid 3) iaitu, “Keselamatan jiwa dijamin, demikian juga dengan harta benda, gereja-gereja dan tempat ibadah mereka. Gereja-gereja mereka tidak akan diduduki, tidak akan diruntuhkan dan dikurangkan. Harta benda gereja tidak akan diambil dan tanda-tanda salib dibiarkan. Mereka tidak akan ditindas kerana perbezaan agama, dan tidak ada sesiapapun dari kalangan mereka yang akan disakiti…”

Sejarah juga menceritakan berhubung perjanjian yang pernah dibuat oleh panglima Khalid al-Walid dengan golongan bukan Islam, iaitu, “Mereka berhak membunyikan loceng-loceng gereja pada bila-bila masa yang mereka suka kecuali pada waktu sembahyang (orang-orang Islam). Mereka juga boleh mengeluarkan tanda salib mereka pada hari perayaan mereka.” Hal ini dilaporkan dalam kitab Al-Kharaj karangan Imam Abu Yusuf.

Tambahan daripada itu, dalam kitab al-Islam wa Ahlul Zimmah karangan Dr. Ali Husni Al-Kharbutli, dilaporkan bahawa pembinaan rumah-rumah ibadah golongan bukan Islam meningkat pada zaman pemerintahan Islam. Maqrizi berkata, “Kebanyakan gereja di Mesir dibina pada waktu pemerintahan Islam tanpa ada sebarang perbezaan pendapat.”

Sebagai contoh, gereja Mar Marcus yang terkenal di Iskandariah, Mesir, dibina antara tahun 39-56 hijrah. Gereja yang pertama di bandar Fustat pula dibina antara tahun 48-68 hijrah. Semua pembinaan ini berlaku di zaman pemerintahan Islam.

Untuk lebih memahami konsep toleransi umat Islam, mari kita amati apa yang dikatakan oleh Robert Briffault dalam bukunya The Making of Humanity (Islamic Book Foundation, Lahore, 1980). Dalam bab Dar al-Hikmet, beliau berkata, “Di bawah konsep toleransi agama (Islam) golongan Kristian hidup penuh kebebasan di bawah pemerintahan khalifah Islam di Sepanyol.. Pelajar-pelajar Kristian dari pelbagai pelosok Eropah datang ke negara Arab ini untuk belajar. Alvaro, seorang paderi kanan di Cordova, menulis pada abad ke-9 Masihi, ‘Kesemua pelajar Kristian yang berbakat ini mengetahui bahasa dan kesusasteraan Arab. Mereka membaca dengan penuh minat buku-buku karangan orang Arab dan berasa amat kagum dengan kesusasteraannya’.”

Golongan Yahudi juga mendapat manfaat daripada sikap toleransi ini. Berhubung dengan ini Robert Briffault dalam buku yang sama berkata, “Sikap toleransi orang-orang Islam di bawah pemerintahan khalifah juga dirasai oleh orang-orang Yahudi. Mereka kemudiannya memperkembangkan budaya hidup orang-orang Islam ke kawasan-kawasan ceruk yang tidak mengenali erti tamadun… Mereka membina banyak sekolah, antaranya sekolah Kimhis dan Ben Esra di Narbonne, dan di situ mereka mengajar ilmu sains Arab di samping menterjemahkan pelbagai buku karangan orang-orang Arab…”

Tidakkah ini menunjukkan bahawa agama Islam amat bertoleransi dengan golongan bukan Islam? Inilah sebenarnya yang diajar oleh Allah dan Rasulnya. Justeru kita boleh hidup secara aman penuh toleransi dalam perbezaan dan kepelbagaian.

No comments: