JellyPages.com

"Hidup Memerlukan Seribu Pengorbanan"

"Hidup Memerlukan Seribu Pengorbanan"

Saturday, May 7, 2011

KEHUJAHAN BERKAITAN MASALIH MURSALAH

KEHUJAHAN BERKAITAN DENGAN MASALIH MURSALAH
Para ulama` mempunyai persepsi yang tersendiri dalam menerima pakai teori masalih al-mursalah sebagai asas dalam pembinaan hukum. Menurut Mohd Saleh Haji Ahmad dalam karangannya Pengantar Syariat Islam” Sekiranya diteliti dalam perbincangan kitab-kitab fiqh, perbahasan konsep ini sebagai sumber hukum terbahagi kepada tiga aliran mazhab. Iaitu :



• Aliran pertama berpendirian al-Masalih Mursalah tidak boleh dijadikan hujah secara mutlak. Golongan yang berpandangan sedemikian terdiri daripada pendapat jumhur al-Shafi`iyyah, al-Hanafiyyah, ahli Zahiri dan sebahagian ulama’ mazhab Maliki.



• Aliran kedua yang terdiri daripada al-Imam al-Ghazali dan al-Baidhawi dari golongan mazhab Shafi`i berpandangan kehujahan al-Masalih Mursalah sebagai instrumen hukum digunapakai apabila memenuhi tiga elemen berikut :

1)Maslahah hanya boleh diaplikasikan pada tahap darurat dan bukannya pada
tahap hajat. Sebagai contoh, kemudahan rukhsah dalam ibadat bagi situasi
tertentu yang diizinkan syara` seperti kesukaran (masyyaqah) ketika
menunaikan sembahyang, puasa, haji dan sebagainya.

2)Qat`iyyah bukan Zanniyah.

3)Bentuk kulliyyah (keseluruhan) dan bukan berbentuk Juziyyah (sebahagian).
Menurut Sheikh Abu al-Nur dalam kitabnya “Usul Fiqh” menjelaskan maslahah
dalam kategori ini bermaksud sesuatu perkara yang ditetapkan oleh kaedah
pembinaan hukum sebagai maslahah dan tidak menimbulkan keraguan. Begitu
juga dengan maslahah yang bersifat kulliyyah bermaksud maslahah yang
memberi faedah kepada kepentingan awam dan bukannya bersifat individu.
Dalam teks perundangan fiqh, contoh yang diberikan bagi kategori kedua
dan ketiga seperti apabila orang kafir menjadikan tawanan orang Islam
sebagai benteng perisai bagi melindungi diri mereka. Dalam situasi ini,
membunuh orang Islam yang diperalatkan oleh tentera musuh sebagai benteng
perisai bersifat qati`yah. Ini kerana, jika tentera Islam tidak berbuat
demikian sekiranya kemenangan berada di pihak musuh maka lebih ramai lagi
umat Islam akan dibunuh. Dalam kes ini memelihara umat Islam dari
dibinasakan secara keseluruhannya dikategorikan sebagai maslahah yang
bersifat kulliyyah.



• Aliran ketiga pula dipelopori oleh Imam Malik dan satu riwayat dari Imam Shafi`i. Pemakaian teori Masalih al-Mursalah tertakluk kepada beberapa kriteria yang telah ditetapkan. Syarat-syarat yang dipersetujui seperti maslahah tersebut bersifat pasti dan bukannya andaian atau sangkaan (waham). Dalam masa yang sama tidak terdapat mana-mana nas yang membatalkannya. Di samping itu, maslahah yang hendak dilaksanakan tersebut perlu berasaskan kepada kepentingan umum dan bukannya atas dasar individu. Sehubungan dengan itu, maslahah tersebut bersifat rasional dan realistik dan juga boleh berfungsi menghapuskan kemudharatan dan kesukaran yang pasti. Daripada perbezaan pendapat di atas dapat dirumuskan dua aliran mazhab menyokong pemakaian teori masalih al-mursalah sebagai sumber hukum dalam perundangan Islam meskipun terdapat perbezaan dari aspek syarat-syarat untuk menguatkuasakannya. Apa yang jelas perbezaan ini hanya melibatkan perbezaan pemahaman dan pentafsiran dari segi hirarki keutamaan maslahah. Sebagai contoh, Imam al-Ghazali menerimapakai konsep masalih mursalah pada tahap daruriyyah dan bagi Imam Malik meletakkan pemakaian teori tersebut pada tahap hajiyyah.



Secara keseluruhannya, maslahah bertujuan untuk menghasilkan kebaikan dan menghindarkan keburukan. Dalam membahaskan tentang maslahah ini, sudah semestinya tidak dapat lari dari dikaitkan dengan “`illah” iaitu asas yang digunapakai dalam membuat kesimpulan hukum. Sebagai contoh, inisiatif yang dibuat oleh Sayyidina Abu Bakr mengumpulkan al-Quran. Ia bertujuan untuk menjaga kepentingan awam disebabkan beliau bimbang hilangnya ayat suci dari muka bumi ekoran mengingatkan banyak berlaku kematian di kalangan para penghafaz al-Quran seramai 70 orang di medan perang dalam peperangan al-Yamamah tersebut.

No comments: