JellyPages.com

"Hidup Memerlukan Seribu Pengorbanan"

"Hidup Memerlukan Seribu Pengorbanan"

Saturday, May 7, 2011

KAEDAH AL-IJAZAH

AL-IJAZAH
Ijazah mengikut pengertian bahasa bermaksud membenarkan atau mengizinkan. Manakala mengikut pengertian istilah ianya membawa maksud memberi kebenaran kepada seseorang untuk meriwayatkan sesebuah hadis atau sesebuah kitab bersandarkan kepada seseorang ulama’ tertentu yang memberikan kebenaran tersebut tanpa membacakan kitab itu di hadapannya. Menurut pengertian istilah juga, ia boleh diertikan sebagai membenarkan seseorang atau kumpulan tertentu untuk meriwayatkan hadis yang diambil daripada gurunya dengan izin, sama ada dalam bentuk kitab atau hafalan. Ijazah ini terdapat dalam berbagai jenis. Sehingga abad ketiga Hijrah sukar untuk menemui tanda-tanda berlangsungnya metode ijazah tersebut, namun kesimpulannya metode ini berlaku dengan meluasnya. Antara tujuan utama metode ijazah ini ialah :
• Untuk mengawal kandungan teks hadis.
• Mengelakkan daripada sebarang perubahan terhadap teks atau matan hadis dan ia berterusan secara betul dan sahih.
Sebagai contohnya metode ijazah ialah, Asrar membenarkan Aban meriwayatkan hadis-hadis daripada Sahih Muslim dengan bersandarkan kepada Asrar. Untuk itu Aban seharusnya mendapatkan satu salinan atau satu naskah Sahih Muslim yang mengandungi surat akuan bacaan yang tercatat nama Asrar pada surat akuan tersebut.
Metode penyampaian dan periwayatan hadis cara ijazah ini diharuskan menurut jumhur ulama’, tetapi dengan syarat gurunya sendiri yang menentukan muridnya yang layak menerima ijazahnya dalam membenarkan meriwayat hadis tersebut.

BAHAGIAN-BAHAGIAN IJAZAH
Terdapat beberapa bahagian yang terkandung di dalam metode ijazah. Diantaranya ialah :
1. Syaikh memberi keizinan kepada orang tertentu untuk riwayat yang tertentu seperti dia mengatakan: Saya memberi ijazah kepada anda meriwayatkan Sahih al-Bukhari. Kategori ini adalah bahagian ijazah tanpa munawalah yang paling tinggi.
2. Syaikh memberi ijazah kepada orang tertentu untuk menerima riwayat yang tidak tertentu seperti dia mengatakan: Saya memberi ijazah kepada anda untuk meriwayatkan hadis-hadis yang saya dengar.
3. Memberi ijazah kepada orang yang tidak tertentu dengan riwayat yang tidak tertentu seperti saya memberi ijazah kepada orang-orang di zaman saya untuk meriwayatkan hadis-hadis yang saya dengar.
4. Memberi ijazah kepada orang yang tidak diketahui atau riwayat yang tidak diketahui seperti saya memberi ijazah kepada anda untuk meriwayatkan kitab sunan, sedangkan dia meriwayatkan beberapa kitab sunan atau saya memberi ijazah kepada Muhammad bin Khalid al-Dimasyqi sedangkan terdapat ramai orang yang mempunyai nama ini.
5. Memberi ijazah kepada pihak yang tidak ada sama ada sebagai ikutan kepada orang yang ada seperti saya memberi ijazah kepada si fulan dan anak yang akan dilahirkan atau kepada orang yang belum dilahirkan lagi secara berseorangan seperti saya memberi ijazah kepada anak si fulan yang akan dilahirkan.


HUKUM METODE IJAZAH
Bahagian yang pertama adalah sahih menurut pendapat majoriti ulama dan dipakai secara berterusan serta harus meriwayatkan dengan cara ini dan beramal dengannya. Beberapa kumpulan ulama pula menganggap cara ini tidak tepat dan ini salah satu daripada dua pendapat yang dinukilkan daripada Imam al-Syafi’i. Sementara bahagian-bahagian ijazah yang lain, khilaf tentang keharusannya lebih ketara lagi. Bagaimanapun, penerimaan dan periwayatan hadis dengan cara ini (ijazah) merupakan penerimaan dengan cara yang lemah dan tidak sepatutnya bermudah dengannya.


LAFAZ-LAFAZ PENYAMPAIAN AL-IJAZAH
1. Yang sebaiknya dengan mengatakan: أجاز لي فلان(si fulan telah mengijazahkan kepada saya).
2. Diharuskan dengan lafaz sama’ yang mempunyai ikatan seperti حدّثنا إجازة beliau telah menceritakan kepada kami secara ijazah atau أخبرنا إجازةdia telah mengkhabarkan kepada kami secara ijazah.
3. Istilah ulama muta`akhkhirin: Lafaz أنبأنا(menyampaikan kepada kami) dan ini dipilih oleh pengarang kitab al-Wijadah.

No comments: