JellyPages.com

"Hidup Memerlukan Seribu Pengorbanan"

"Hidup Memerlukan Seribu Pengorbanan"

Saturday, February 5, 2011

TA'ZIR

TA’ZIR
PENGERTIAN TA’ZIR

Dari segi bahasa al-Ta’zir bermaksud menolak, mencegah atau menghalang. Ia dinamakan hukuman ta’zir disebabkan wujudnya hukuman tersebut akan dapat menghalang orang-orang yang melakukan kesalahan daripada melakukan kesalahan ataupun mengulangi pada masa akan datang. Mengikut pengertian syarak ialah sejenis hukuman yang tidak ditetapkan kadarnya atau bentuknya yang dilaksanakan bagi menunaikan hak Allah SWT dan hak manusia terhadap terhadap kesalahan-kesalahan yang selain hukuman qisas, hudud, diyat dan kifarat.

TA’ZIR SEBAGAI HAK
• Ta’zir sebagai hak Allah SWT (hak masyarakat).
• Ta’zir sebagai hak manusia (hak individu).
Maksud ta’zir hak Allah SWT ialah menyentuh kepentingan umum dan yang dapat mencegah keburukan daripada masyarakat sebagai satu keseluruhan. Seseorang yang melakukan kesalahan yang tidak menyentuh kepentingan mana-mana orang secara khusus dan tidak ada hukuman tertentu yang ditetapkan oleh syarak maka individu tersebut boleh dikenakan hukuman ta’zir. Manakala yang dimaksudkan dengan ta’zir hak manusia ialah sesuatu yang menyentuh mashlahat dan kepentingan individu tertentu.

PENETAPAN HUKUM TA’ZIR
Hukuman yang berkaitan dengan ta’zir tidak terdapat di dalam Al-Quran dan Hadith, di mana ia terserah kepada kepakaran hakim dan pemerintah untuk menetapkan sesuatu kesalahan itu dengan hukuman demi kepentingan penjenayah dan masyarakat serta Negara. Dalam hal tersebut juga hukum ta’zir berubah mengikut corak kehidupan. Hukuman ta’zir juga tidak terhad. Ianya berbentuk penjara, denda, rampas harta atau buang negeri. Lantaran itu ia meliputi aspek yang luas seperti berkhalwat, pecah amanah, rasuah, mengedar dadah, menagih dadah dan sebagainya. Oleh itu, dalam konteks lain, pembunuhan yang diampunkan oleh waris atau ada sebab tertentu yang tidak boleh dilaksanakan qisas terhadap pembunuh dengan sengaja, hakim boleh mengenakan hukuman ta’zir terhadap pembunuh itu.

BAHAGIAN TA’ZIR
• Ta’zir atas perbuatan maksiat.
• Ta’zir untuk kepentingan umum.
• Ta’zir atas kesalahan-kesalahan kecil.

TA’ZIR ATAS PERBUATAN MAKSIAT
Ta’zir dilaksanakan bagi individu yang melakukan maksiat bagi kaffarah diatas dosa yang dilakukannya. Diantara jenis maksiat yang dikenakan ta’zir mengikut sepakat para fuqaha ialah :
• Maksiat yang mewajibkan hukuman had. Maksiat seperti ini tidak memerlukan hukuman ta’zir kerana baginya hukuman yang tersendiri iaitu hudud. Walaupun begitu, tiada pula halangan sekiranya keadaan memerlukan untuk mengenakan hukuman ta’zir atas maksiat jenis ini disamping hukuman-hukuman yang asal bagi setiap maksiat yang berkenaan.
• Maksiat yang hukumnya berbentuk kiffarah. Fuqaha berbeza pendapat mengenai hal ini dan ada diantara mereka yang mengatakan bahawa hukuman ta’zir tidak diperlukan atas alasan kaffarah sahaja sudah cukup. Manakala sebahagian lagi mengatakan boleh juga dikenakan hukuman ta’zir disamping hukuman kiffarah dilaksanakan.
• Maksiat yang tiada hukuman had dan tiada hukuman kiffarah seperti berkhalwat antara lelaki dan perempuan yang ajnabi, memakan bangkai, cubaan mencuri dan lain-lain lagi. Maksiat jenis ketiga ini akan dikenakan hukuman ta’zir sahaja disebabkan ketiadaan ketetapan hukuman lain melainkan ta’zir.

TA’ZIR UNTUK KEPENTINGAN UMUM
Hukuman ta’zir untuk kepentingan umum ini boleh dikenakan ke atas mana-mana pesalah dengan dua syarat iaitu :
• Telah melakukan perbuatan yang menyentuh kepentingan atau mashlahah umum.
• Hukuman dikenakan untuk kepentingan umum.
Contoh ta’zir untuk kepentingan umum ialah seperti menghukum kanak-kanak yang tidak mendirikan sembahyang. Begitu juga dengan orang gila boleh dikenakan ta’zir bagi mengelakkan kemudharatan kepada orang ramai.

TA’ZIR ATAS KESALAHAN-KESALAHAN KECIL
Seperti yang telah dipersetujui oleh para fuqaha bahawa ta,zir hanya dilakukan terhadap perkara-perkara yang haram dan meninggalkan yang wajib. Ta’zir terhadap kesalahan-kesalahan kecil ini berlaku percanggahan antara fuqaha kerana ada yang membenarkan dan ada yang menegah daripada pelaksanaan hukuman ta’zir.

JENIS-JENIS HUKUMAN TA’ZIR
1. Hukuman mengenai tubuh badan.
• Hukuman mati.
• Hukuman sebat.
2. Hukuman yang menyekat kebebasan.
• Hukuman penahanan (penjara).
• Hukuman buang daerah atau negeri.
3. Hukuman berbentuk harta (pembayaran ganti rugi).
4. Hukuman yang lain (kesalahan-kesalahan ringan).
• Memberi nasihat.
• Memberi peringatan dan amaran.
• Pemulauan.
• Melucutkan jawatan pesalah.
• Mencela.

TUJUAN PELAKSANAAN HUKUM TA’ZIR
Penetapan hukum ta’zir adalah termasuk dalam bidang kuasa hakim atau mahkamah iaitu bagi tujuan mengawal keadaan dan undang-undang supaya ia tidak disalahgunakan dan tidak ada penyalahgunaan kekuasaannya oleh sesiapa selain hakim. Antara tujuan pelaksanaan hukum ta’zir ialah :
• Untuk menjaga kepentingan masyarakat umum.
• Pelaksanaannya adalah melalui pertimbangan yang wajar dan berkesan oleh hakim atau pemerintah untuk menolong orang yang bersalah juga masyarakat dan mengambil pelajaran dan menghindarkan perbuatan jahat dan untuk kesejahteraan manusia sejagat.
• Hukuman ta’zir janganlah melebihi hukum hudud.
• Ta’zir mestilah dilakukan dengan adil jika pesalah terdiri daripada beberapa orany yang melakukan kesalahan yang sama.

No comments: